JAKARTA: Indonesia mengeluarkan amaran rasmi kepada Google berhubung kegagalan YouTube mematuhi peraturan baharu perlindungan kanak-kanak, terutamanya dalam menyekat akses bagi pengguna di bawah umur 16 tahun.
Menteri Komunikasi dan Digital, Meutya Hafid berkata, amaran bertulis itu susulan pemeriksaan yang mendapati YouTube masih belum memenuhi kewajipannya di bawah peraturan tersebut.
Advertisement
“Berdasarkan pemeriksaan oleh Ketua Pengarah Pengawasan Ruang Digital pada 7 April, YouTube tidak memenuhi kewajipan pematuhannya dan tidak atau belum menyatakan niat baik untuk mengikuti undang-undang yang terpakai dalam masa terdekat,” katanya pada sidang media di sini pada Khamis.
Beliau menambah, kerajaan tidak lagi dapat bertoleransi dengan situasi tersebut, sekali gus mendorong peralihan daripada pengawasan kepada tindakan penguatkuasaan.
Meutya berkata, tindakan itu diambil di bawah peraturan kerajaan mengenai perlindungan kanak-kanak dalam ruang digital (PP Tunas), yang memerlukan platform menyekat akses bagi pengguna di bawah 16 tahun dan memperkukuh perlindungan.
Beliau berkata, sekatan dikenakan secara progresif di bawah rangka kerja tersebut, bermula daripada amaran bertulis kepada penggantungan sementara dan akhirnya penamatan akses.
“Sekatan dikenakan secara berperingkat, sementara masih mengharapkan perubahan sikap daripada Google dan hari ini kami mengeluarkan surat amaran,” katanya.
Pada 28 Mac, Indonesia mula melaksanakan peraturan baharu yang melarang kanak-kanak di bawah 16 tahun daripada mengakses platform digital, termasuk Instagram, Facebook, Threads, X, Bigo Live, YouTube, TikTok dan Roblox, sebagai sebahagian daripada usaha memperkukuh perlindungan kanak-kanak dalam talian terhadap risiko seperti pornografi, buli siber, penipuan dan ketagihan.
Setakat Khamis, tiga pemilik platform - Meta, yang menyelia Facebook, Instagram dan Threads; X; dan Bigo Live - telah mematuhi sepenuhnya peraturan tersebut dengan menguatkuasakan sekatan ke atas pengguna di bawah 16 tahun.
Sementara itu, TikTok dan Roblox dikategorikan sebagai patuh sebahagian dan telah diberi tempoh sehingga 10 April untuk mengemukakan pelan tindakan mereka selepas meminta masa tambahan bagi memenuhi keperluan tersebut.
YouTube kekal sebagai satu-satunya platform dalam kalangan lapan platform tersebut yang masih belum patuh atau menunjukkan niat baik dalam menyekat akses bagi pengguna di bawah 16 tahun.
Kerajaan juga telah memberikan pengendali sistem elektronik (PSE) lain di luar lapan platform awal tersebut tempoh tiga bulan untuk menjalankan penilaian risiko secara bebas dan menyerahkan pelan pelaksanaan.
-- BERNAMA