KUALA LUMPUR: Keuntungan bersih Mr D.I.Y. Group (M) Bhd pada suku kedua berakhir 30 Jun 2023 meningkat kepada RM150.32 juta daripada RM135.19 juta dalam tempoh sama pada tahun lepas.

Dalam makluman kepada Bursa Malaysia, katanya perolehan turut naik 4.9 peratus tahun ke tahun kepada RM1.10 bilion daripada RM1.05 bilion sebelum ini, didorong oleh sumbangan positif daripada kedai baharu.

"Oleh itu, jumlah urus niaga meningkat 13.1 peratus tahun ke tahun kepada 40.9 juta urus niaga pada suku kedua tahun kewangan 2023.

"Kumpulan membuka 43 kedai baharu pada suku tahun tersebut, menjadikan jumlah keseluruhan kedai kepada 1,168 pada separuh pertama tahun kewangan 2023 -- naik 17.6 peratus tahun ke tahun berbanding tempoh sama pada tahun kewangan 2022," katanya.

Mengenai prospek, Mr D.I.Y. berkata kumpulan kekal yakin untuk terus mencatatkan pertumbuhan jangka panjang yang mampan.

"Kumpulan akan terus melabur dalam pertumbuhan melalui strategi pengembangan kedai yang membolehkannya menembusi pusat pasaran dan bandar yang lebih kecil dengan lebih luas untuk memenuhi keperluan pembeli, yang akan memacu pertumbuhan.

"Pertumbuhan kumpulan akan dibiayai oleh aliran tunai operasi dan kedudukan lembaran imbangan tunai bersih yang kukuh, yang juga akan menyokong dasar pembayaran dividen yang baik," katanya.

Menurut Mr D.I.Y., kumpulan berada di landasan yang baik untuk membuka sekurang-kurangnya 180 kedai baharu, menjadikan jumlah rangkaian kedai kepada lebih 1,200 kedai di seluruh negara.

Dalam makluman berasingan, ia mengisytiharkan dividen interim satu peringkat sebanyak RM0.008 sesaham biasa, kira-kira RM75.5 juta bagi tahun kewangan berakhir 31 Dis 2023, yang akan dibayar pada 22 Sept 2023.

Dalam satu kenyataan, Ketua Pegawai Eksekutif Adrian Ong berkata pertumbuhan stabil pada suku kedua tahun kewangan 2023 memberi petunjuk kukuh bahawa nilai untuk wang Mr D.I.Y. adalah relevan dan selaras dengan pembeli yang mementingkan nilai semalam.

"Kami juga gembira dengan kemajuan ketara dalam margin keuntungan kami yang pulih walaupun menghadapi cabaran operasi semasa, merupakan petunjuk yang meyakinkan mengenai kekuatan dan daya tahan perniagaan," katanya.

-- BERNAMA