KUALA LUMPUR: Mr DIY Group Bhd mencatatkan keuntungan bersih yang lebih tinggi sebanyak RM431.82 juta bagi tahun kewangan berakhir 31 Dis, 2021 berbanding RM337.16 juta pada tahun sebelumnya.

Perolehan meningkat kepada RM3.37 bilion daripada RM2.55 bilion sebelum ini, didorong pertambahan jumlah kedai, sumbangan positif daripada kedai baharu dan purata saiz bakul yang lebih tinggi, katanya dalam makluman kepada Bursa Malaysia hari ini.

Menurut peruncit itu, rangkaian kedainya berkembang sebanyak 23 peratus tahun ke tahun kepada 900 pada suku keempat tahun kewangan 2021 berbanding 734 pada suku keempat bagi tahun kewangan 2020, mewakili pertumbuhan bersih sebanyak 166 kedai merentasi empat jenamanya iaitu MR DIY, MR DIY Express, MR TOY dan MR DOLLAR.

Bagi suku keempat (tahun kewangan 2021), keuntungan bersih syarikat tersebut menokok kepada RM134.55 juta daripada RM108.26 juta pada suku yang sama pada 2020, manakala perolehan menambah kepada RM975.38 juta daripada RM768.33 sebelum ini.

"Perolehan bagi suku keempat adalah disebabkan peningkatan jumlah kedai selain berakhirnya kawalan pergerakan dan sekatan-sekatan lain yang dikenakan sebelum itu," katanya.

MR DIY berkata ia mengisytiharkan dividen interim suku tahunan kira-kira RM56.5 juta bagi suku keempat tahun kewangan 2021, bersamaan nisbah pembayaran 42 peratus, menyumbang jumlah dividen terkumpul sebanyak RM185.2 juta bagi tahun kewangan 2021.

Mengenai prospek, peruncit itu berkata ia masih yakin berada dalam kedudukan yang baik untuk terus mencatatkan pertumbuhan jangka panjang yang mampan, antaranya didorong kekuatan sedia ada model perniagaannya dan kebolehan menjalankan inisiatif strategik bagi pertumbuhan kedai baharu.

"Kami komited menawarkan nilai dan kemudahan kepada pelanggan, disokong rangkaian 900 cawangan di seluruh negara, dengan kira-kira 18,000 unit simpanan stok (SKU) dan moto kami 'Always Low Prices,'"katanya.

Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif Adrian Ong berkata aliran tunai dan lembaran imbangan syarikat tetap teguh dengan aliran tunai bersih daripada operasi berjumlah RM644.7 juta, manakala nisbah hutang bersih kekal baik pada 0.01 kali.

Menurutnya peruncit itu menyasarkan pembukaan 180 kedai merentasi empat jenamanya pada 2022, menjadikan keseluruhan jumlah kedai kepada kira-kira 1,100.

-- BERNAMA