KUALA LUMPUR: Keuntungan bersih Petronas Gas Bhd (PetGas) bagi suku kedua berakhir 30 Jun 2023 meningkat kepada RM485.37 juta berbanding RM396.50 juta bagi tempoh sama tahun sebelumnya.

Hasil pada suku itu turut meningkat kepada RM1.64 bilion daripada RM1.50 bilion sebelum ini, dipacu oleh hasil lebih tinggi daripada segmen utiliti berikutan harga produk yang meningkat, katanya dalam makluman kepada Bursa Malaysia hari ini.

Peningkatan dalam keuntungan ini disumbangkan oleh keuntungan kasar yang tinggi, selain bahagian keuntungan lebih besar daripada syarikat usaha sama dan lebih pendapatan faedah daripada pelaburan dana.

Pendedahan yang rendah terhadap pertukaran asing susulan penyelesaian awal liabiliti pajakan dolar Amerika Syarikat bagi unit penyimpanan terapung di terminal pengegasan semula gas asli cecair (LNG) di Sungai Udang, Melaka merangsangkan lagi pendapatan syarikat.

Perbelanjaan cukai yang rendah turut menyumbang kepada keuntungan yang tinggi, kata syarikat itu sambil memaklumkan perbelanjaan cukai bagi suku yang sama lebih tinggi berbanding pengenaan cukai makmur bagi tahun taksiran 2022.

PetGas mencatatkan pendapatan sesaham yang lebih tinggi sebanyak 24.53 sen berbanding 20.04 sen sebelum ini.

Syarikat meluluskan dividen interim kedua sebanyak 16 sen sesaham biasa berjumlah RM316.6 juta bagi tahun kewangan berakhir 31 Dis 2023 yang akan dibayar pada 22 Sept 2023 kepada pendeposit berdaftar dalam rekod pendeposit semasa penutup perniagaan pada 12 Sept 2023.

Berkenaan prospek, PetGas berkata prestasinya bagi 2023 dijangka terus baik, disokong oleh pendapatan yang stabil daripada kontrak dan kecemerlangan operasi yang mampan, meskipun pergerakan harga gas mungkin memberikan impak kepada keputusan tahun penuh kumpulan.

"Dalam keadaan kos persekitaran operasi yang tinggi selepas pandemik, kumpulan akan terus berusaha demi kecemerlangan operasi dan keseimbangan yang sesuai antara pelaburan, berhemat dari segi kewangan dan pengagihan pemegang saham," katanya.

Pada rehat tengah hari, saham PetGas menyusut dua sen atau 0.12 peratus kepada RM17.02 dengan 167,000 saham diniagakan.

-- BERNAMA