KUALA LUMPUR: Keuntungan bersih Public Bank Bhd pada suku kedua berakhir 30 Jun, 2022 meningkat kepada RM1.42 bilion daripada RM1.38 bilion dicatatkan pada suku tahun sama pada tahun lepas, sebahagian besarnya oleh pendapatan faedah bersih yang tinggi dan elaun susut nilai pinjaman yang rendah.

Perolehan naik kepada RM4.97 bilion daripada RM4.92 bilion sebelum ini.

Dalam makluman kepada Bursa Malaysia hari ini, Pengasas, Pengerusi Emeritus, Pengarah dan Penasihat, Tan Sri Teh Hong Piow berkata, peralihan kepada endemik selain aktiviti perniagaan dan sentimen pengguna yang meningkat telah menjana persekitaran perniagaan yang lebih baik, sekali gus menyokong perniagaan perbankan teras kumpulan untuk pinjaman dan deposit.

"Lembaga Pengarah mengisytiharkan dividen interim pertama sebanyak lapan sen sesaham, yang akan membawa kepada jumlah pembayaran dividen sebanyak RM1.55 bilion, mewakili 55.2 peratus daripada keuntungan bersih kumpulan bagi setengah tahun berakhir 30 Jun 2022.

"Dividen interim pertama akan dibayar pada 23 Sept, 2022 berdasarkan tarikh kelayakan dividen pada 14 Sept, 2022," katanya.

Teh berkata, bank terus mengekalkan kedudukan utama domestiknya dalam hartanah kediaman, pembiayaan sewa beli dan pembiayaan PKS dengan bahagian pasaran, masing-masing sebanyak 20.5 peratus, 30.5 peratus dan 20.5 peratus walaupun menghadapi cabaran ekonomi dan persaingan sengit dalam pasaran.

Beliau berkata, kecairan dan struktur pembiayaan kumpulan Public Bank terus baik dengan pinjaman kasar kepada dana dan nisbah ekuiti sebanyak 81 peratus setakat separuh pertama tahun kewangan 2022.

Mengenai pendapatan bukan faedah, cabang Public Bank, Public Mutual mencatatkan keuntungan sebelum cukai sebanyak RM392.2 juta pada separuh pertama tahun kewangan 2022, menyumbang 9.7 peratus kepada keuntungan bank.

"Walaupun sentimen pasaran lemah, Public Mutual terus menguasai bahagian pasaran runcit yang besar sebanyak 35.2 peratus dengan sejumlah 177 dana unit amanah dan jumlah aset di bawah pengurusan sebanyak RM92.1 bilion," kata Teh.

Mengenai prospek, Teh berkata, lembaran imbangan bank yang kukuh, kualiti aset yang berdaya tahan dan amalan tadbir urus korporat yang baik akan terus memberi sokongan dalam mengukuhkan perniagaannya dengan kecekapan kos dan produktiviti operasi yang lebih baik. - BERNAMA