KUALA LUMPUR: Public Bank Bhd telah memeterai memorandum kerjasama (MoC) dengan Perodua Sales Sdn Bhd (Perodua) bagi menyediakan kemudahan pembiayaan untuk pengedar Perodua yang sah.

Kerjasama itu akan membolehkan Public Bank memudahkan usaha digitalisasi melalui penghantaran permohonan pembiayaan akhir sewa beli secara dalam talian kepada bank, termasuk memuat naik dokumen permohonan asas dan menyemak status permohonan.

Dalam kenyataan hari ini, Pengarah Urusan dan Ketua Pegawai Eksekutif Public Bank, Tan Sri Tay Ah Lek berkata, kerjasama itu juga sejajar dengan kedudukan Perodua sebagai pengeluar kenderaan cekap tenaga (EEV) pertama di Malaysia.

"Kami menyokong pertumbuhan industri EEV yang juga tunggak penting bagi agenda dalam menangani perubahan iklim. Public Bank turut memperuntukkan lebih RM30 bilion untuk pembiayaan EEV tempatan pada akhir 2022.

"Sejajar dengan sebahagian daripada komitmen berterusan kami untuk menyokong pertumbuhan industri EEV, Public Bank meningkatkan sasaran pembiayaan EEV daripada RM25 bilion kepada RM33 bilion menjelang 2025," katanya ketika berucap pada majlis pemeteraian MOC itu pada 25 Mei lepas.

Hadir sama Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif Perodua, Datuk Seri Zainal Abidin Ahmad.

Sehubungan itu, Tay berkata, Public Bank dan Perodua mempunyai potensi dari segi sinergi dengan baik dan terus bekerjasama, bukan sahaja dalam mengembangkan perniagaan masing-masing tetapi menyumbang secara positif kepada inisiatif alam sekitar, sosial dan tadbir urus (ESG) demi kesejahteraan masyarakat dan dunia.

Public Bank juga komited untuk menyumbang kepada pertumbuhan kelestarian masyarakat dan menggembleng industri automotif negara selain merencana kemajuan lebih kukuh bagi tahun-tahun mendatang. - BERNAMA