KUALA LUMPUR: Keuntungan bersih FGV Holdings Bhd bagi suku ketiga berakhir 30 Sept, 2023 susut kepada RM31.98 juta daripada RM241.67 juta yang dicatatkan pada suku yang sama tahun lepas.

Hasil turun kepada RM4.91 bilion daripada RM6.18 bilion sebelumnya, kata kumpulan itu dalam makluman kepada Bursa Malaysia hari ini.

Ia berkata hasil yang menurun didorong oleh purata harga minyak sawit mentah (MSM) yang direalisasikan yang lebih rendah pada suku semasa, manakala keuntungan bersih yang lebih rendah disebabkan kemerosotan keuntungan dalam sektor perladangan.

Bagaimanapun, FGV berkata keuntungan yang lebih rendah itu sebahagiannya dikurangkan oleh peningkatan suku semasa yang dicatatkan dalam sektor logistik dan lain-lain, dan kerugian yang lebih rendah dicatatkan dalam sektor gula.

Bagi sembilan bulan berakhir 30 Sept 2023, keuntungan bersih FGV susut kepada RM39.18 juta daripada RM984.93 juta yang dicatatkan dalam tempoh yang sama tahun lepas, manakala hasil turun kepada RM13.99 bilion daripada RM19.46 bilion sebelum ini.

FGV berkata keuntungan yang rendah bagi tempoh sembilan bulan tahun ini disebabkan terutamanya oleh purata harga MSM yang direalisasikan yang rendah sebanyak RM3,948 satu tan berbanding RM4,989 satu tan yang dicatatkan dalam tempoh kewangan yang sama sebelumnya.

"Ini ditambah lagi dengan kos pengeluaran MSM mengikut harga kilang yang lebih tinggi sebanyak 35 peratus," katanya.

FGV berkata sektor perladangan terus mengalami penurunan margin dalam perniagaan hiliran dan bajanya pada sembilan bulan pertama tahun ini.

"Bahagian keuntungan daripada usaha sama juga merosot daripada RM45.18 juta kepada RM3.0 juta dalam tempoh kewangan semasa.

"Terdapat juga kerugian rosot nilai yang lebih tinggi bagi aset bukan kewangan berjumlah RM58.94 juta, terutamanya disebabkan oleh kemerosotan nilai aset perladangan Indonesia, berbanding RM13.87 juta dalam tempoh kewangan sebelumnya," katanya.

FGV berkata dalam landskap pasaran semasa, harga MSM berhadapan cabaran dengan kejatuhan berikutan stok minyak sayuran yang berlebihan di negara pengguna utama serta permintaan yang lemah.

"Bagaimanapun, harga MSM diunjurkan lebih baik pada suku keempat iaitu antara RM3,800 dan RM4,000 satu tan.

"Trajektori positif ini disokong oleh kesan jangkaan El Nino, permintaan yang meningkat di India didorong oleh aktiviti penyimpanan semula stok Diwali dan industri biodiesel sawit yang berkembang, semuanya menyumbang kepada persekitaran harga yang kukuh," katanya.

Sementara itu, FGV berkata sektor gula terus berdepan cabaran berpunca daripada kenaikan harga gula mentah global, peningkatan kos pengangkutan dan gas asli serta ringgit yang semakin lemah di tengah-tengah ketegangan geopolitik.

"Sektor logistik kekal teguh dalam komitmennya terhadap peningkatan prestasi melalui inisiatif strategik, termasuk pengembangan kapasiti, pengoptimuman aset, dan penggunaan teknologi canggih," katanya.

-- BERNAMA