SERDANG:Usahawan Bumiputera perlu merebut peluang yang diberikan kerajaan menerusi Dana pembiayaan yang disalurkan menerusi Perbadanan Usahawan Nasional Bhd (PUNB) dan MARA.

Penganalisis ekonomi, Prof Dr Azali Mohamed, berkata banyak keistimewaan yang diberikan kepada pemohon dana berkenaan, justeru ia perlu dimanfaatkan sebaik-baiknya oleh lebih ramai usahawan Bumiputera.

Beliau yang juga Dekan Sekolah Perniagaan dan Ekonomi (SPE), Universiti Putra Malaysia, berkata ekonomi tempatan terutama dalam kalangan Bumiputera mampu dipulihkan sekiranya dana itu dapat dioptimumkan.

"Pemberian moratorium selama enam bulan dan permohonan tanpa cagaran adalah dua keistimewaan yang sangat menarik untuk dana sebesar ini.

"Dalam keadaan ekonomi sekarang, dana seumpama ini amat membantu usahawan Bumiputera untuk kelangsungan operasi perniagaan masing-masing terutama mereka yang terjejas akibat kesan COVID-19," katanya.

Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas mengenai dana pembiayaan usahawan Bumiputera yang disalurkan kerajaan menerusi PUNB dan MARA sebanyak RM500 juta masih banyak berbaki dan belum dipohon.

Perkara itu dibentangkan dalam Laporan LAKSANA Ke-23 Pelaksanaan Pakej Rangsangan Ekonomi Prihatin Rakyat (PRIHATIN) dan Pelan Jana Semula Ekonomi Negara (PENJANA oleh Menteri Kewangan, Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz, baru-baru ini.

Dana berkenaan diumumkan kerajaan menerusi Pelan Jana Semula Ekonomi Negara (PENJANA) pada Jun lalu, yang mana sebanyak RM200 juta ditawarkan melalui PUNB dan RM300 juta disalurkan menerusi MARA.

Daripada jumlah berkenaan hanya RM16.22 juta telah disalurkan oleh PUNB sehingga 18 September lalu, manakala jumlah yang sudah disalur menerusi MARA masih belum diperoleh.

Mengulas lanjut, Azali berkata, jika dilihat kepada dana PUNB hanya kira-kira lapan peratus sahaja dana digunakan oleh usahawan dan masih banyak lagi belum dimanfaatkan.

Katanya, kempen kesedaran atau promosi perlu diperkasakan lagi bagi memastikan usahawan tidak tercicir daripada menerima bantuan.

"Ini adalah satu peluang kepada usahawan untuk meningkatkan potensi perniagaan dengan penggunaan teknologi untuk menambah baik pentadbiran operasi dan automasi sistem perniagaan.

"Peningkatan ini secara tidak langsung membantu meningkatkan produktiviti perniagaan dengan pasaran yang lebih luas," katanya.