KUALA LUMPUR: Usaha Malaysia dalam aspek peralihan tenaga telah menerima pengiktirafan sebagai terbaik di Asia Tenggara menerusi Indeks Peralihan Tenaga oleh Forum Ekonomi Dunia (WEF), kata Pengerusi Bursa Malaysia Tan Sri Abdul Wahid Omar.

Beliau berkata WEF mengiktiraf kemajuan dan rancangan Malaysia untuk memastikan peralihan tenaga dilaksanakan tepat pada masanya dan bersesuaian.

Katanya antara faktor lain adalah indeks tersebut mempertimbangkan kesediaan negara untuk beralih kepada sumber tenaga yang lebih mesra alam sekitar.

"Pencapaian ini penting dan hadir pada masa yang tepat ketika kita bersiap sedia untuk rundingan iklim yang akan datang di Konvensyen Rangka Kerja Perubahan Iklim Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) (UNFCCC COP 28) di Dubai pada akhir tahun ini," katanya.

Abdul Wahid berkata demikian dalam ucapan alu-aluannya pada Siri Khas Invest Malaysia: Pelancaran Pelan Hala Tuju Peralihan Tenaga Negara (NETR) Fasa 1: Projek dan Inisiatif Pemangkin Utama di sini pada Khamis.

Sementara itu, beliau berkata sejumlah 31 syarikat sendirian berhad dalam sektor tenaga disenaraikan di Bursa Malaysia, menyumbang 2.16 peratus atau RM37.6 bilion daripada jumlah permodalan pasaran.

"Prestasi syarikat-syarikat berkaitan tenaga boleh baharu yang tersenarai di Bursa Malaysia agak kukuh. Sebagai contoh, Solar Vest dan Samaiden Bhd telah mencatatkan pertumbuhan permodalan pasaran tahun ke tahun, masing-masing sebanyak 77 peratus dan 71 peratus," katanya.

Menurut Abdul Wahid, sebagai bursa pelbagai aset, Bursa Malaysia telah bergiat aktif dalam mempermudah usaha peralihan tenaga Malaysia, khususnya dari segi merapatkan jurang pembiayaan yang diperlukan negara ke arah sifar bersih menerusi pelancaran Pasaran Karbon Sukarela (VCM) - Bursa Carbon Exchange (BCX), bursa VCM patuh syariah yang pertama di dunia pada Disember 2022.

Beliau berkata Malaysia mempunyai potensi besar untuk menjana kredit karbon yang berkualiti tinggi daripada kekayaan sumber berasaskan alam semula jadi dan teknologi negara bagi menyokong matlamat peralihan tenaga Malaysia.

"Ini antara usaha ke arah mewujudkan penetapan harga karbon yang akan membantu membiayai sebahagian daripada langkah dan pelaburan yang diperlukan Malaysia untuk mencapai sifar bersih seawal 2050.

"Kami menjangkakan BCX akan menawarkan peluang pembiayaan tambahan menerusi hasil yang dijana daripada projek-projek tenaga rendah karbon," katanya.

Abdul Wahid berkata sejumlah 54.9 peratus daripada jumlah keluasan tanah di Malaysia diliputi oleh hutan dan pokok seperti yang dinyatakan dalam Laporan Kemas Kini Dwitahunan Malaysia Keempat (BUR4) kepada PBB, dan mempunyai 46 trilion kaki padu (tcf) kapasiti penyimpanan karbon di lapangan minyak dan gasnya yang semakin berkurangan.

Selain itu, beliau berkata terdapat banyak pilihan yang mudah diperoleh seperti pemulihan metana daripada sisa buangan cecair kilang minyak sawit, air buangan industri dan tapak pelupusan yang boleh dimanfaatkan untuk penjanaan elektrik biogas.

-- BERNAMA