DAVOS: Industri teknologi kewangan (fintech) global menunjukkan kekuatan dan daya tahan serta terus berkembang di sebalik unjuran ekonomi tidak menentu.

Laporan The Future of Global Fintech: Towards Resilient and Inclusive Growth, oleh World Economic Forum (WEF), menunjukkan majoriti syarikat fintech mempunyai pandangan positif terhadap persekitaran kawal selia, dengan 63 peratus menyifatkan kawal selia adalah mencukupi.

Selain itu, 38 peratus bersetuju persekitaran kawal selia menjadi penyokong utama terhadap operasi dan pertumbuhan mereka.

Bagaimanapun sebahagian besar syarikat fintech juga mendapati pematuhan kepada kerangka kawal selia adalah suatu cabaran dan proses perlesenan serta pendaftaran mempunyai permasalahan.

Justeru, peserta industri mengesa segmen tersebut diberikan tumpuan penambahbaikan oleh pembuat dasar dan pengawal selia.

“Amat menggalakkan untuk melihat prestasi fintech kekal kukuh selepas pandemik COVID-19, dengan purata kadar pertumbuhan pelanggan global melebihi 50% dari 2021-2022; bagaimanapun, halangan yang dikenal pasti seperti iklim makroekonomi yang sukar dan pembiayaan fintech yang berkurangan tidak boleh diabaikan.

"Mengatasi cabaran ini dan merealisasikan faedah sosial dan ekonomi yang berterusan daripada industri fintech akan memerlukan pengumpulan data yang berterusan untuk lebih memahami titik sukar indsutri dan sokongan daripada peserta sektor awam dan swasta dalam perkhidmatan kewangan." kata Ketua, Teknologi dan Inovasi dalam Perkhidmatan Kewangan, Forum Ekonomi Dunia, Drew Propson.

Kajian sama turut mendapati peserta industri terus mengembangkan perkhidmatan kewangan dan produk kepada segmen populasi yang kurang mendapat perkhidmatan.

Segmen itu merangkumi sebahagian besar asas pelanggan fintech dan nilai keseluruhan transaksi.

“Memandangkan industri fintech global terus berkembang dan berubah, adalah penting untuk kadar inovasi pengawalseliaan dan penyeliaan sepadan dengan inovasi kewangan.

“Laporan ini menyerlahkan kepentingan mempunyai persekitaran kawal selia yang sesuai dan mencukupi sertga kondusif untuk pembangunan fintech yang berskala dan mampan,” kata Pengarah Eksekutif dan Pengasas Bersama, Pusat Kewangan Alternatif Cambridge, Bryan Zhang.

Kajian tersebut dijalankan bersama Cambridge Centre for Alternative Finance (CCAF) di University of Cambridge Judge Business School, melibatkan 200 peserta fintech merentasi lima segmen peruncitan (pembiayaan digital, penerbitan modal digital, pembayaran digital, perbankan digital, simpanan serta insurtech).

Enam wilayah dipilih merentasi Asia Pasifik, Eropah, Amerika Latin dan Caribbean, Timur Tengah serta Afrika Utara selain Amerika Syarikat, Kanada dan sub-Sahara Afrika.