KUALA LUMPUR: YTL Construction meraih tiga anugerah industri pembinaan, termasuk pengiktirafan Projek Terbaik (Infrastruktur – Kategori Besar) bagi Projek Landasan Berkembar Elektrik Gemas–Johor Bahru bernilai RM8.9 bilion.
Pengarah Eksekutifnya, Yeoh Keong Yuan berkata kejayaan pelaksanaan projek nasional itu membuktikan keupayaan jurutera dan pakar teknikal tempatan mengendalikan pembangunan infrastruktur yang kompleks serta berskala besar.
“Projek Landasan Berkembar Elektrik Gemas–Johor Bahru merupakan satu pencapaian penting dalam pembangunan infrastruktur kereta api negara. Kami berbangga dapat memainkan peranan dalam menjayakan projek nasional ini.
“Ia membuktikan keupayaan jurutera dan tenaga pakar teknikal tempatan dalam melaksanakan projek infrastruktur yang kompleks dan berskala besar,” katanya dalam kenyataan pada Jumaat.
Projek yang dilaksanakan oleh SIPP–YTL JV itu menerima pengiktirafan berkenaan pada Anugerah Kecemerlangan Industri Pembinaan Malaysia (MCIEA) 2026 anjuran Lembaga Pembangunan Industri Pembinaan Malaysia (CIDB).
Dalam penganjuran sama, Yeoh turut dinobatkan sebagai penerima Anugerah Kontraktor Muda Cemerlang.
Dua pengiktirafan itu menyusul selepas YTL Construction menerima anugerah Syarikat Pembinaan Terbaik (Infrastruktur Pengangkutan) 2026 pada Malaysia Building Excellence Awards anjuran Chartered Institute of Building (CIOB).
SIPP–YTL JV merupakan usaha sama antara SIPP Rail Sdn Bhd dengan YTL Construction yang bertindak sebagai subkontraktor utama tempatan bagi projek rel berkenaan.
Projek milik Kementerian Pengangkutan itu melibatkan jajaran sepanjang 192 kilometer dan 11 stesen, sekali gus melengkapkan rangkaian landasan berkembar elektrik negara dari Padang Besar hingga Johor Bahru.
Menurut kenyataan itu, penyempurnaan projek berkenaan membolehkan perjalanan menggunakan Servis Tren Elektrik (ETS) dari Kuala Lumpur ke Johor Bahru dalam tempoh kira-kira empat jam 20 minit.
Kemudahan tersebut turut membuka peluang ekonomi baharu dan menyokong pembangunan di sepanjang jajaran.
Pelaksanaan projek merangkumi kerja kejuruteraan awam dan struktur, pembinaan landasan serta pemasangan sistem kereta api, termasuk kerja bersebelahan landasan yang masih beroperasi tanpa menjejaskan perkhidmatan penumpang dan kargo sedia ada.
Projek itu turut merekodkan 28 juta jam kerja selamat, dengan penggunaan Pemodelan Maklumat Bangunan (BIM), dron dan teknologi pengimbasan laser bagi meningkatkan kecekapan perancangan serta pelaksanaan pembinaan.
Lebih 3,000 jurutera dan pakar teknikal tempatan menyumbang kepakaran, manakala lebih 35,000 peluang pekerjaan diwujudkan sepanjang tempoh pembinaan.
Pada waktu kemuncak, projek berkenaan melibatkan hampir 10,000 tenaga kerja.
Yeoh berkata pengiktirafan yang diterima turut mengukuhkan komitmen syarikat terhadap pembangunan bakat tempatan dan penggunaan teknologi baharu.
“Pengiktirafan ini merupakan hasil usaha dan komitmen seluruh warga kerja kami. Ia turut memperkukuh iltizam YTL Construction untuk terus membangunkan bakat tempatan, memanfaatkan teknologi baharu serta menyediakan infrastruktur yang memberi manfaat berpanjangan kepada negara,” tambahnya.
Ditubuhkan pada 1955, YTL Construction merupakan syarikat pembinaan di bawah Kumpulan YTL yang melaksanakan projek infrastruktur, kereta api, komersial dan kediaman di Malaysia serta luar negara.