KUALA LUMPUR: YTL Power International Bhd melupuskan keseluruhan 33.5 peratus pegangannya dalam ElectraNet Pty Ltd di Australia kepada Australian Utilities Pty Ltd, yang juga pemegang amanah Australian Utilities Trust pada harga A$1.03 bilion (RM3.07 bilion).

Kumpulan itu dalam satu kenyataan memaklumkan selepas pelupusan selesai, YTL Power akan mendapat keuntungan sebanyak RM2.215 bilion berdasarkan nilai pelaburan pada 30 Jun 2021.

Menurut Pengarah Urusan Kumpulan, Datuk Yeoh Seok Hong penjualan tersebut menyumbang peningkatan sebanyak 16.8 peratus kepada aset bersih proforma YTL Power sesaham, dengan nilai meningkat kepada kira-kira RM1.88 sesaham selepas selesai pelupusan berbanding RM1.61 bagi tahun kewangan berakhir 30 Jun 2021.

Ia sekaligus dijangka menghasilkan pendapatan proforma sesaham sebanyak 26.02 sen.

"Transaksi ini memberi peluang kepada Kumpulan untuk meraih pulangan daripada pelaburan yang matang.

"Ia juga akan mengoptimumkan lagi baki aset dalam portfolio perniagaan kami dan meningkatkan fleksibiliti untuk menggunakan rizab tunai kami ke arah usaha niaga baharu yang berdaya maju bagi melengkapkan perniagaan sedia," demikian katanya dalam kenyataan pada Selasa.

ElectraNet mengendalikan sistem penghantaran elektrik voltan tinggi di seluruh Australia Selatan di bawah pajakan eksklusif selama 200 tahun.

Pada Disember 2000, YTL Power yang dikendalikan oleh taikun Malaysia, Tan Sri Francis Yeoh Sock Ping dan adik-beradik memperoleh 33.5 peratus kepentingan dalam Electranet.

Ia merupakan usaha pertama Kumpulan itu di peringkat antarabangsa yang berasaskan kedudukan sebagai pengeluar tenaga bebas (IPP) pertama Malaysia dengan dua stesen jana kuasa miliknya di Paka, Terengganu dan Pasir Guda g, Johor.