KUALA LUMPUR: Astro mengumumkan pelantikan Zaiful Ariffin sebagai Pemangku Ketua Pengarang Astro AWANI berkuat kuasa serta-merta.
Zaiful yang sebelum ini Editor Eksekutif (Komersial dan Kandungan Berjenama) saluran itu, adalah antara perintis yang menubuhkan Astro AWANI pada 2007 sebagai saluran berita dan hal ehwal semasa 24 jam pertama negara.
Advertisement
Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Astro, Euan Smith, berkata pelantikan Zaiful itu susulan pengunduran penyandang jawatan berkenaan, Ashwad Ismail, baru-baru ini.
Euan berkata, Zaiful merupakan seorang pemimpin media dan editorial yang dihormati, dengan pengalaman lebih tiga dekad merangkumi kewartawanan, penyiaran televisyen dan operasi berita.
"Sepanjang 18 tahun beliau bersama Astro AWANI, beliau memainkan peranan penting dalam membentuk hala tuju editorial organisasi serta mengukuhkan reputasinya dalam industri.”
“Dalam peranan semasanya sebagai Editor Eksekutif, Zaiful mengetuai perkhidmatan editorial serta memacu inisiatif untuk mengembangkan usaha pengewangan dan komersial kandungan rangkaian.
"Pemikiran strategiknya selain kepakaran mendalam dalam operasi bilik berita serta komitmen beliau terhadap kewartawanan berkualiti akan terus mengangkat mutu serta inovasi editorial Astro AWANI," katanya.
Ashwad pada 23 Februari lalu, mengumumkan pengunduran diri sebagai Ketua Pengarang Astro AWANI sebelum dilantik sebagai Ketua Pengarah Penyiaran.