Skip to main content

Bisnes

Zeti yakin Malaysia dapat harungi ketidaktentuan global, elak krisis

71744250012_TanSriDrZetiAkht.jpg
Zeti menyatakan keyakinan beliau terhadap keupayaan negara dalam mengharungi ketidaktentuan global melalui tindakan yang terselaras dan perancangan proaktif. - Gambar fail

KUALA LUMPUR: Gangguan ekonomi semasa yang dihadapi Malaysia berikutan konflik antara Amerika Syarikat dan Iran perlu diurus dengan berkesan untuk mengekangnya daripada memuncak sehingga menjadi krisis, kata Tan Sri Zeti Akhtar Aziz.

Tokoh ekonomi terkemuka itu turut menyatakan keyakinan beliau terhadap keupayaan negara dalam mengharungi ketidaktentuan global melalui tindakan yang terselaras dan perancangan proaktif.

“Ini merupakan gangguan, dan ya, jika diuruskan dengan baik, gangguan itu tidak akan menjadi krisis. Itulah yang kita mahu lakukan - keluar daripadanya,” katanya kepada pemberita selepas menyampaikan ucaptama di Forum Perniagaan FLUX 2026 di sini, hari ini.

Forum itu dianjurkan dengan kerjasama Dewan Perniagaan dan Perindustrian Malaysia-Jerman.

Beliau berkata pengukuhan daya tahan terhadap perkembangan luaran yang berada di luar kawalan negara adalah penting, dengan usaha yang terselaras dan kesiapsiagaan kekal diutamakan dalam menghadapi keadaan global yang sentiasa berubah.

Bekas Gabenor Bank Negara Malaysia itu berkata asas ekonomi Malaysia masih kukuh, namun kalangan penggubal dasar dan perniagaan perlu bersedia menghadapi pelbagai senario susulan perkembangan global yang berlaku di luar kawalan negara.

“Kita mempunyai sistem asas, betul? Ya, memang betul, namun kita menghadapi perkembangan global ini yang berada di luar kawalan kita. Kita perlu menerimanya sebagai satu kenyataan.

“Jadi, kita perlu beroperasi berdasarkan pelbagai kemungkinan senario. Sama ada perang itu berakhir lebih awal atau konflik ini akan berpanjangan manakala dalam setiap senario ini semua perlu bersedia dengan cara kita untuk bertindak balas,” katanya.

Zeti berkata Malaysia mempunyai kapasiti untuk bertindak balas secara berkesan terhadap perubahan keadaan, namun usaha tersebut perlu melibatkan bukan sahaja kerajaan malah juga sektor swasta.

Beliau turut menekankan kepentingan mekanisme penyelarasan yang teguh dan penilaian berterusan terhadap perkembangan bagi memastikan tindak balas itu kekal bersifat antisipasi dan pandangan jauh.

“Pada masa lepas, lazimnya, dan saya percaya kita masih mengekalkannya, ada Majlis Tindakan Ekonomi Negara yang disokong oleh sekretariat yang cekap bagi menganalisis perkembangan yang berlaku supaya kita dapat menjangkakan dan bertindak terlebih dahulu.

“Itulah yang akan menjadi penentu dan saya yakin Malaysia mempunyai potensi ini,” katanya.

Terdahulu dalam ucaptamanya, Zeti berkata persekitaran global semakin dicabar oleh gangguan berterusan yang berpunca daripada konflik geopolitik, perubahan dasar di ekonomi utama dunia, serta transformasi teknologi dan digital yang pesat, seterusnya menyebabkan ketidaktentuan lebih ketara dan ekonomi global yang semakin terpecah-pecah.

Beliau berkata perubahan struktur dalam perdagangan global dan peningkatan nasionalisme ekonomi telah meningkatkan lagi ketidaktentuan, manakala gangguan rantaian bekalan dan tekanan kos yang berterusan, khususnya akibat kejutan berkaitan tenaga, terus menguji daya tahan ekonomi, perniagaan dan rakyat.

“Kita sedang beroperasi dalam tempoh ketidaktentuan yang ketara dan berterusan. Ketidaktentuan ini perlu diterima sebagai satu realiti. Ketidaktentuan ini telah menjadi sebahagian daripada normal baharu, masa depan baharu,” katanya.

Zeti berkata kerajaan, perniagaan dan rakyat perlu menyesuai dengan keadaan yang berubah-ubah serta membina daya tahan untuk terus berfungsi dalam pelbagai senario, termasuk cabaran yang masih belum muncul.

Tindak balas yang berkesan terhadap gangguan memerlukan langkah yang bersifat antisipasi bukannya sekadar bertindak balas selepas sesuatu berlaku, katanya.

Beliau juga mengingatkan supaya tidak terlalu bergantung kepada langkah reaktif memandangkan keadaan terus berubah.

“Sikap mengambil kira hal-hal yang akan terjadi membolehkan tindakan awal dan  pandangan jauh dilaksanakan. Bertindak lebih awal dalam mengurus kejutan juga akan membantu meminimumkan kos dan kesan gangguan yang mungkin berlaku.

"Faktor penentu penting dalam menguruskan keadaan ini ialah kecepatan dan kualiti membuat keputusan dalam menghadapi ketidaktentuan, dan ini akan menjadi fungsi bagi perancangan institusi kerajaan, yang mesti mengambil kira keadaan mendesak," katanya.

-- BERNAMA

 

 

Must Watch Video

Advertisement