KUALA LUMPUR: ZUS COFFEE sekali lagi mengharumkan nama Malaysia apabila dinobatkan sebagai Jenama Terbaik Tahun Ini (Brand of the Year) dalam kategori Peruncit (Kopi), Peringkat Kebangsaan pada World Branding Awards 2026-2027 yang berlangsung di Hampton Court Palace, London, United Kingdom.
Pengiktirafan itu merupakan pencapaian tahun kedua berturut-turut buat jenama kopi tempatan berkenaan, sekali gus mencerminkan pertumbuhan pesat serta kedudukan kukuhnya dalam pasaran pengguna.
Anugerah berprestij tersebut diberikan menerusi proses penilaian yang merangkumi penilaian nilai jenama, undian awam dalam talian dan penyelidikan pasaran pengguna.
Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan ZUS COFFEE, Venon Tian berkata, pencapaian itu membuktikan sokongan berterusan pelanggan dan komitmen seluruh tenaga kerja syarikat dalam membangunkan jenama berkenaan sejak ditubuhkan pada 2019.
“Ketika mula bertapak, kami tidak mempunyai semua jawapan untuk segalanya, namun kami sentiasa berpegang pada satu prinsip, iaitu kopi berkualiti tidak seharusnya menjadi satu kemewahan, sebaliknya sesuatu yang mampu dinikmati oleh semua.
“Melihat sejauh mana kami telah berkembang hari ini sememangnya melangkaui jangkaan kami. Kami tidak mungkin dapat mencapai tahap ini tanpa sokongan pasukan kami, pelanggan dan semua pihak yang sentiasa bersama kami,” katanya dalam satu kenyataan.
Beliau berkata, anugerah tersebut menjadi pemangkin kepada syarikat untuk terus meningkatkan mutu perkhidmatan dan pengalaman pelanggan sejajar dengan aspirasi jenama itu.
Bermula sebagai sebuah kios kecil di Kuala Lumpur, ZUS COFFEE kini beroperasi di Malaysia, Singapura, Filipina, Brunei, Thailand, Pakistan dan Indonesia dengan rangkaian melebihi 1,000 cawangan.
Menerusi aplikasi digitalnya, syarikat itu terus memperluaskan akses kepada kopi premium pada harga mampu milik di samping memperkenalkan pelbagai pilihan produk mengikut keperluan pengguna di setiap pasaran.
ZUS COFFEE turut mengumumkan rancangan untuk memasuki pasaran United Kingdom pada Januari 2027, yang disifatkan sebagai satu lagi langkah penting dalam usaha memperkukuh kehadiran antarabangsanya dalam industri makanan dan minuman (F&B).
Dari segi prestasi produk, dua minuman paling popular syarikat itu iaitu Spanish Latte dan CEO Latte masing-masing mencatat jualan melebihi 46 juta cawan dan 13 juta cawan di seluruh dunia.
Dengan fokus terhadap gabungan kopi, teknologi dan pengalaman pelanggan, ZUS COFFEE berkata ia akan terus memperkukuh kedudukannya sebagai jenama tempatan yang mampu bersaing di peringkat global.