Tabung Haji (TH) mengumumkan nilai hibah 1.25 peratus bagi tahun 2018 melibatkan agihan keuntungan RM913 juta.

Pemberian hibah itu boleh dilakukan selepas prestasi kewangan 2018 memenuhi dua syarat iaitu mempunyai keuntungan boleh agih dan aset melebihi liabiliti mengikut Akta Tabung Haji 1995.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Mujahid Yusof Rawa turut mengumumkan kedudukan kewangan TH kembali pulih dengan lebihan aset RM1 bilion berbanding nilai defisit RM4.1 bilion pada laporan kewangan diaudit 2017.

“Setakat 31 Disember 2018, TH merekodkan aset keseluruhan berjumlah RM76.5 bilion, lebih tinggi daripada liabiliti bernilai RM75.5 bilion.

“Manakala pendapatan direkodkan pada RM4.2 bilion dan keuntungan boleh agih mencecah RM2 bilion,” katanya ketika pengumuman prestasi kewangan 2018 TH di Putrajaya pada Jumaat.

Mujahid berkata, sejak melakukan penstrukturan aset, TH merekodkan rosot nilai RM1.5 bilion melibatkan rosot nilai pelaburan, perladangan, hartanah, pembinaan dan marin minyak dan gas.

Selain itu beliau sekali lagi menjelaskan perpindahan aset TH kepada Syarikat Tujuan Khas (SPV), Urusharta Jemaah Sdn Bhd (UJSB) bernilai RM19.9 bilion adalah bagi memastikan aset tidak menguntungan TH dipulihkan.

Transaksi itu juga akan melibatkan pertukaran RM10 bilion sukuk dan RM9.9 bilion Saham Islamik Boleh Ditebus Boleh Ditukar (RCPS-i) yang boleh diterbitkan TH pada bila bila masa.

“Kerajaan akan memperuntukan RM500 juta bagi 2020 dan diikuti RM1.73 bilion setahun sehingga semua sukuk ditebus semula.

“Ia melibatkan jumlah keseluruhan bernilai RM17.8 bilion untuk tempoh 10 tahun,” kata beliau lagi.

Sementara itu, Pengarah Urusan Kumpulan dan Ketua Pegawai Eksekutif TH, Datuk Seri Zukri Samat berkata, pemindahan aset terhadap UJSB melibatkan pertukaran suku RM19.6 bilion dan tunai RM300 juta.

“Kami yakin TH akan mencapai prestasi lebih baik bagi 2019 dengan kedudukan kewangan yang kembali kukuh setelah semua rosot nilai dibuat,” katanya.

BACA: Tabung Haji umum hibah 1.25 peratus - Mujahid