NEW YORK: Agensi Kerja dan Bantuan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu bagi Pelarian Palestin (UNRWA) berkata dianggarkan seramai 1.9 juta orang atau hampir 85 peratus daripada jumlah penduduk Gaza hilang tempat tinggal.

Ini termasuk beberapa penduduk yang telah berpindah beberapa kali kerana mencari tempat selamat untuk berlindung, lapor Agensi Berita Palestin (WAFA).

UNRWA berkata hampir 1.4 juta orang pelarian dalam negara (IDP) berlindung di 155 kemudahan UNRWA di semua lima wilayah.

Rafah kini menjadi tempat perlindungan utama bagi mereka yang kehilangan tempat tinggal dengan lebih sejuta orang tinggal berhimpit-himpit di dalam ruang yang sangat sesak di wilayah itu.

Ini berikutan peningkatan pertempuran di Khan Younis dan Deir al Balah, selain perintah pengusiran tentera Israel.

Justeru usaha mendapatkan angka tepat bagi bilangan sebenar IDP menjadi tugas yang mencabar.

UNRWA berkata bilangan IDP di wilayah utara tidak dikemas kini sejak 12 Okt lepas kerana kekangan akses dan keadaan keselamatan yang menghalang pengesahan dibuat.

-- BERNAMA