JAKARTA: Sekurang-kurangnya 10 anggota polis cedera dalam kejadian letupan yang menggegarkan Markas Briged Bergerak (Brimob) Polis Indonesia di Surabaya, Jawa Timur pada Isnin.

Ketua Polis Jawa Timur Inspektor Jeneral Imam Sugianto berkata individu yang cedera adalah antara sekumpulan 15 anggota yang menjalani latihan di kemudahan tertutup berhampiran gudang sementara yang meletup.

Kesemua anggota yang cedera menjalani rawatan semalaman untuk pemerhatian di hospital sebelum dibenarkan keluar pada Selasa.

"Pemeriksaan di tempat kejadian mendapati serpihan kaca bertaburan yang mengenai anggota kami," katanya yang dipetik akhbar tempatan, detikJatim.

Imam berkata letupan yang dicetuskan oleh sisa bahan letupan mortar berlaku pada 10.19 pagi waktu tempatan, menyebabkan kerosakan pada ruang pejabat dan kenderaan.

Sisa mortar itu yang sebelum ini ditemui dan dipindahkan dari kawasan perumahan sedang menunggu untuk dimusnahkan.

Beliau berkata siasatan awal mendapati letupan itu disebabkan oleh suhu tinggi daripada cuaca panas.

Sebanyak empat ambulans polis digunakan untuk membawa anggota yang cedera ke Hospital Bhayangkara Surabaya.

Sementara itu seorang peniaga di medan selera berhampiran, Hartati berkata beliau terdengar tiga bunyi letupan dengan yang terakhir paling kuat.

Letupan itu menggegarkan tingkap di rumah berhampiran dan pihak berkuasa bersiap sedia untuk membantu penduduk yang rumah mereka terjejas.

-- BERNAMA