BRITAIN kini berkabung susulan pemergian Putera Philip, suami Ratu Elizabeth II pagi tadi (waktu tempatan) di Istana Windsor.

Meninggal dunia pada usia 99 tahun, Putera Philip telah menyambut ulang tahun perkahwinannya bersama Ratu Elizabeth yang ke-73 pada pada 20 November tahun lalu.

Lebih tujuh dekad melayari bahtera rumah tangga, baginda berdua menjadi inspirasi kepada sebilangan besar masyarakat dunia.

BACA: Suami Ratu Elizabeth II, Putera Philip meninggal dunia

Berikut dikongsikan beberapa fakta tentang Putera Philip:

1. Dilahirkan pada tahun 1921 dalam keluarga diraja Greece tetapi kemudian hidup dalam buangan selepas keluarga diraja itu digulingkan.

2. Menyertai Tentera Laut Diraja Britain pada usia 18 tahun.

3. Menerima pendidikan dengan Tentera Udara Diraja (RAF) dan mendapat lencana RAF pada tahun 1953. Pada tahun 1956, Putera Philip mendapat lesen helikopter dan lesen juruterbang persendirian pada tahun 1959.

4. Putera Philip dan Ratu Elizabeth (ketika itu Puteri Elizabeth) bertemu kali pertama pada tahun 1934 di sebuah majlis perkahwinan diraja. Kedua-duanya mula bertukar surat sebelum akhirnya berkahwin pada tahun 1947.

5. Menjelang tahun 1950, pasangan itu menjalani kehidupan yang agak jauh daripada tumpuan masyarakat.

6. Situasi itu berubah pada tahun 1952 apabila Elizabeth naik takhta sebagai Ratu Elizabeth II pada usia 25 tahun.

7. Ratu Elizabeth tidak terus mengurniakan Philip gelaran rasmi sebagai 'Putera'. Sebaliknya, Philip hanya memegang gelaran Duke of Edinburgh, Earl of Merioneth dan Baron Greenwich. Ratu Elizabeth mengurniakan gelaran putera kepada Philip pada 1957.

8. Secara definisi, Putera Philip adalah putera raja, yang bermaksud suami kepada seorang ratu, tetapi tidak secara automatik seorang raja.

9. Beliau merupakan panglima Tentera Laut Diraja tetapi harus melepaskan pangkat itu apabila isterinya naik takhta.

10. Pada usia 96 tahun, beliau secara rasmi bersara dari semua tugasan awam. Dengan lebih daripada 22,000 penampilan sejak 1952 dan lebih 5,000 ucapan, Putera Philip adalah anggota diraja Britain yang paling lama berkhidmat, menurut istana.