Skip to main content

Dunia

AS tawar keahlian NATO kepada Ukraine sebagai tukaran pengunduran dari Donbas - Zelensky

Zelensky berkata, Ukraine sedang mengadakan perbincangan dengan rakannya mengenai pakej keselamatan menyeluruh yang boleh ditawarkan dalam rundingan damai. - Gambar fail
Zelensky berkata, Ukraine sedang mengadakan perbincangan dengan rakannya mengenai pakej keselamatan menyeluruh yang boleh ditawarkan dalam rundingan damai. - Gambar fail
Advertisement

KYIV: Presiden Ukraine Volodymyr Zelensky mendakwa Amerika Syarikat (AS) mencadangkan bahawa Ukraine boleh ditawarkan keahlian dalam Pertubuhan Perjanjian Atlantik Utara (NATO) sebagai pertukaran kepada pengunduran tentera Ukraine dari wilayah Donbas, menurut laporan media, lapor Xinhua.

“Pihak Amerika membangkitkan persoalan: 'Jika Ukraine menyertai NATO, adakah negara itu akan berundur dari Donbas?' Ini merupakan kali pertama persoalan sedemikian dibangkitkan,” kata Zelensky kepada pemberita dalam kenyataan yang dikeluarkan pejabatnya pada Sabtu.

Beliau berkata Ukraine sedang mengadakan perbincangan dengan rakannya mengenai pakej keselamatan menyeluruh yang boleh ditawarkan dalam rundingan damai.

Advertisement

Pakej itu merangkumi jaminan keselamatan khusus daripada NATO dan Kesatuan Eropah (EU),  angkatan tentera yang kuat dengan jumlah anggota dan persenjataan mencukupi, sokongan kewangan bagi tempoh tertentu serta pelan pemulihan yang disokong pembiayaan daripada sumber yang dikenal pasti dengan jelas, kata Zelensky.

Rundingan tiga pihak yang melibatkan Rusia, AS dan Ukraine berakhir pada Rabu di Abu Dhabi, ibu negara Emiriah Arab Bersatu, tanpa sebarang persetujuan diumumkan berhubung gencatan senjata, pertikaian wilayah atau jaminan keselamatan jangka panjang.

Advertisement

Utusan AS Jared Kushner, dalam satu hantaran media sosial pada penghujung minggu itu berkata Rusia dan Ukraine bersetuju untuk memperluas penyertaan dalam pusingan rundingan seterusnya dengan melibatkan rakan Eropah.

Beliau berkata langkah itu akan membolehkan perbincangan mengenai aturan keselamatan Eropah yang lebih menyeluruh selepas konflik, selain isu wilayah.

Pembantu Kremlin Yuri Ushakov berkata Presiden Rusia Vladimir Putin menggesa negara Eropah supaya menentukan sama ada mereka mahukan keamanan atau mahu konflik itu berterusan.

Ushakov berkata Rusia bersedia membincangkan seni bina keselamatan Eropah yang baharu, sambil mengulangi tuntutan lama Moscow supaya peluasan keanggotaan NATO dihentikan dan penempatan ketenteraan berhampiran sempadan Rusia dikenakan sekatan.

-- BERNAMA-XINHUA

Must Watch Video

Advertisement