KUALA LUMPUR: Lawatan Presiden Perancis Emmanuel Macron ke Malaysia yang dijadualkan berlangsung dalam masa terdekat akan menumpukan, antara lain, kepada usaha mempelbagaikan sumber bekalan unsur nadir bumi Perancis yang penting bagi pembuatan motor elektrik serta peranti elektronik.
Menerusi hantaran di platform media sosial X pada Sabtu, Macron berkata lawatannya ke Kemboja dan Malaysia bertujuan memperkukuh perkongsian ekonomi serta melindungi pekerjaan dan industri di Perancis serta di seluruh wilayahnya.
"Di Malaysia, saya datang khususnya untuk mempelbagaikan bekalan unsur nadir bumi kami. Kita jarang memperkatakannya, namun ia amat penting untuk menghasilkan magnet yang digunakan dalam motor elektrik dan peranti elektronik tertentu," katanya.
Macron berkata jaminan pelbagai sumber bekalan akan membantu pengeluar Perancis mengurangkan kerentanan terhadap gangguan rantaian bekalan.
"Bagi kilang-kilang kami, mempunyai beberapa sumber bekalan bermakna mengurangkan risiko terpaksa menghentikan barisan pengeluaran akibat kekurangan alat ganti. Ia juga bermakna dapat melabur dan menghasilkan produk di Perancis dengan kepastian yang lebih tinggi mengenai masa depan," katanya.
Beliau menegaskan bahawa perkongsian antarabangsa yang lebih kukuh adalah penting bagi memastikan daya tahan ekonomi dan mengurangkan kebergantungan kepada sumber bahan kritikal yang terhad.
"Lebih banyak rakan kongsi, kurang kebergantungan. Perjanjian kita membuka pintu. Bahasa, budaya dan persahabatan memastikan ia terus terbuka. Ini baik untuk negara kita," katanya.
Nos emplois et la vie de nos territoires se défendent en France, mais aussi à des milliers de kilomètres de chez nous. C’est l’enjeu de mon déplacement au Cambodge et en Malaisie. Au Cambodge, je viens avec des chefs d’entreprise pour ouvrir de nouveaux marchés en m’appuyant sur la Francophonie qui nous rapproche. Le savoir-faire français et le travail engagé a déjà des débouchés très concrets. Le Cambodge veut par exemple s’appuyer sur l’expertise de Rungis pour créer son propre marché de gros. En Malaisie, je viens notamment diversifier nos approvisionnements en terres rares. On en parle peu, mais elles sont pourtant indispensables à la fabrication des aimants de certains moteurs électriques et appareils électroniques. Pour nos usines, avoir plusieurs sources d’approvisionnement, c’est réduire le risque de devoir arrêter une chaîne de production faute de pièces. C’est aussi pouvoir investir et produire en France avec plus de visibilité. Si nous pouvons lancer de nouveaux projets ensemble aujourd’hui avec une telle confiance, c’est parce que d’autres, bien avant nous, ont appris à travailler côte à côte. À Angkor, cette confiance se voit jusque dans la pierre. Nous inaugurerons, avec le roi, le Mébon occidental restauré : quatorze années de travail entre équipes cambodgiennes et françaises. Plus de partenaires, moins de dépendances. Nos accords ouvrent des portes. La langue, la culture et l’amitié les gardent ouvertes. C’est bon pour nos pays.
— Emmanuel Macron (@EmmanuelMacron) November 14, 2026
Lawatan Macron ke Malaysia pada 16 dan 17 Nov ini susulan lawatan negara ke Kemboja dan menandakan lawatan pertamanya ke Malaysia sejak 2017.
Macron memaklumkan bahawa di Kemboja, beliau akan diiringi pemimpin perniagaan bagi meneroka pasaran baharu dengan memanfaatkan komuniti berbahasa Perancis serta hubungan ekonomi sedia ada.
"Di Kemboja, saya datang bersama pemimpin perniagaan untuk membuka pasaran baharu dengan memanfaatkan dunia berbahasa Perancis yang merapatkan hubungan kita," katanya.
Beliau turut mengetengahkan peluang untuk kepakaran Perancis menyumbang kepada pembangunan Kemboja, dengan merujuk kepada minat negara itu untuk memanfaatkan pengalaman Rungis International Market, iaitu pasar borong hasil segar terbesar di dunia, bagi membangunkan kemudahan pasar borongnya sendiri.
-- BERNAMA