TUMBLER RIDGE: Sekurang-kurangnya 10 orang maut, termasuk suspek wanita, selepas seorang penembak melepaskan tembakan di sebuah sekolah menengah di barat Kanada pada Selasa sebelum dipercayai menembak diri sendiri, lapor Reuters.
Polis Persekutuan Kanada (RCMP) berkata enam mangsa ditemui maut di dalam sekolah, seorang lagi meninggal dunia ketika dalam perjalanan ke hospital, manakala dua mangsa ditemui di sebuah kediaman yang dipercayai berkaitan dengan insiden.
Advertisement
Seorang lagi mangsa turut disahkan maut di lokasi kejadian, menjadikan keseluruhan korban 10 orang.
Sekurang-kurangnya dua mangsa dirawat akibat kecederaan serius, manakala sehingga 25 orang lagi mengalami kecederaan tidak mengancam nyawa.
Suspek wanita itu ditemui mati akibat kecederaan sendiri, dan polis mengesahkan tiada ancaman lanjut kepada orang awam.
Kes ini mengejutkan negara itu kerana penembak wanita sangat jarang berlaku dalam insiden tembakan besar-besaran di Amerika Utara.
Polis sebelum itu mengeluarkan amaran penembak aktif dan menggambarkan suspek sebagai “wanita berambut coklat”.
Tumbler Ridge, sebuah bandar kecil kira-kira 2,400 penduduk di kawasan pergunungan utara British Columbia, sebelum ini diletakkan di bawah arahan berkurung sebelum amaran itu ditarik balik selepas suspek ditemui.
Perdana Menteri Kanada, Mark Carney, dalam kenyataan di X, menyampaikan ucapan takziah dan menyifatkan kejadian itu sebagai “sangat tragis”.
Insiden ini antara yang paling buruk dalam sejarah Kanada, selepas tragedi Nova Scotia pada 2020 dan pembunuhan beramai-ramai di Ecole Polytechnique pada 1989.