Skip to main content

Politik

PRN Melaka: BN tampil lapan muka baharu, tiga exco digugurkan

Ab Rauf mengumumkan senarai calon pada majlis pelancaran jentera pilihan raya dan pengenalan calon BN di MITC, malam ini. - Gambar Astro AWANI
Ab Rauf mengumumkan senarai calon pada majlis pelancaran jentera pilihan raya dan pengenalan calon BN di MITC, malam ini. - Gambar Astro AWANI

Advertisement

MELAKA: Barisan Nasional (BN) melakukan perubahan terhadap barisan calonnya bagi Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka ke-16 dengan menampilkan lapan muka baharu, termasuk menggugurkan tiga Exco kerajaan negeri.

Antara nama yang tidak disenaraikan ialah Exco Pendidikan, Pengajian Tinggi dan Hal Ehwal Agama Negeri, Datuk Rahmad Mariman yang merupakan penyandang Dewan Undangan Negeri (DUN) Ayer Molek.

Turut digugurkan ialah Exco Pembangunan Wanita, Keluarga dan Komuniti Negeri, Datuk Kalsom Noordin yang menyandang kerusi DUN Pengkalan Batu, serta Exco Belia dan Sukan Negeri, Datuk VP Shanmugam.

Pengumuman senarai calon itu dibuat Pengerusi BN Melaka, Datuk Seri Ab Rauf Yusoh pada majlis pelancaran jentera pilihan raya dan pengenalan calon BN di Pusat Dagangan Antarabangsa Melaka (MITC), di sini, malam ini.

Antara muka baharu yang diberi kepercayaan ialah Ketua Pemuda UMNO Melaka, Datuk Abdul Hakim Abdul Wahid, yang akan bertanding di DUN Lendu bagi menggantikan bekas Ketua Menteri Melaka, Datuk Seri Sulaiman Md Ali.

Bagi DUN Ayer Molek, BN menampilkan Datuk Mohd Ridhwan Mohd Ali, manakala Siti Aisyah Mahmood dipilih untuk bertanding di Pengkalan Batu.

Turut diumumkan sebagai calon baharu ialah Jezlee Pit di Sungai Rambai, Datuk Azman Abdullah di Serkam, Datuk Dr Mustafa Musa di Durian Tunggal dan Norazril Abd Aziz di Rembia.

MIC pula meletakkan S. Nadarajah sebagai calon parti itu bagi menghadapi PRN kali ini.

Dalam perkembangan sama, penyandang DUN Paya Rumput, Datuk Rais Yasin bertukar kawasan apabila dipilih bertanding di DUN Sungai Udang.

Perubahan itu menyaksikan BN bukan sahaja memperkenalkan calon baharu, malah melakukan penyusunan semula di beberapa kerusi menjelang persaingan di 28 DUN Melaka.

Penamaan calon ditetapkan pada 31 Oktober, manakala pengundian awal pada 10 November dan hari mengundi pada 14 November.
 

Must Watch Video

Advertisement