QUEENSLAND: Sekurang-kurangnya 10 orang maut selepas ribut petir melanda timur Australia semasa perayaan Krismas.

Perkara itu disahkan oleh pihak berkuasa ketika puluhan ribu hartanah masih bergelap dan bermasalah tanpa bekalan elektrik.

Cuaca buruk yang membawa hujan lebat dan hujan batu melanda negeri Victoria, New South Wales dan Queensland pada 25 dan 26 Disember lalu.

Angin kencang menyebabkan pokok tumbang di beberapa kawasan yang terjejas dan jubin bumbung terbang.

Lebih 90,000 isi rumah masih terputus bekalan elektrik.

Menurut Pesuruhjaya Polis Queensland, Katarina Carrol, tiga lelaki terbunuh selepas sebuah kapal layar yang membawa 11 penumpang terbalik berhampiran Green Island di Teluk Moreton semasa ribut petir itu.

Kata polis, dua wanita ditemukan maut berhampiran bandar Gympie selepas dihanyutkan dalam longkang yang ditenggelami air.

Seorang kanak-kanak perempuan berusia sembilan tahun meninggal dunia selepas dihanyutkan dalam longkang ditenggelami air di selatan Brisbane.

Seorang wanita ditemui meninggal dunia di tapak perkhemahan di Victoria selepas air banjir surut, manakala dua lagi maut akibat dihempap pokok tumbang.

Justeru, pihak berkuasa memberi amaran paras air sungai dan anak sungai yang naik cepat boleh merobohkan tebing sehingga membanjiri tapak perkhemahan, yang kebiasaannya sesak semasa minggu Krismas serta sambutan tahun baharu.

Biro Meteorologi Australia meramalkan hujan berterusan walaupun cuaca buruk itu dijangka reda dalam masa terdekat.

Laporan menyebut, ribut petir berlaku selepas Taufan Propika Jasper melanda awal bulan ini menyebabkan banjir dan kerosakan teruk di Queensland.