Skip to main content

Malaysia

Keputusan di APEC Shenzhen bakal menjadi asas hala tuju daya tahan, kemakmuran ekonomi rantau ini - PM Anwar

Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim berucap ketika menyampaiakan Kenyataan Negara pada Mesyuarat Pemimpin Ekonomi APEC di Shenzen, China hari ini. - Foto Bernama
Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim berucap ketika menyampaiakan Kenyataan Negara pada Mesyuarat Pemimpin Ekonomi APEC di Shenzen, China hari ini. - Foto Bernama

Ringkasan AI

  • Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim menegaskan keputusan Mesyuarat Pemimpin Ekonomi APEC ke-33 penting bagi membentuk daya tahan dan kemakmuran ekonomi rantau.
  • Malaysia menekankan kepentingan kerjasama serantau sebagai jambatan kepada perkongsian global, khususnya dengan negara membangun dan Selatan Global.
  • Malaysia memperjuangkan tadbir urus digital dan kecerdasan buatan yang beretika, memastikan kemajuan teknologi memperkasakan semua ekonomi tanpa eksploitasi.
Advertisement

SHENZHEN: Keputusan yang dihasilkan pada Mesyuarat Pemimpin Ekonomi Kerjasama Ekonomi Asia Pasifik (APEC) ke-33 akan menjadi penentu dan pembentuk kepada daya tahan serta kemakmuran ekonomi rantau ini untuk generasi akan datang, tegas Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim.

“Dalam dunia yang semakin berpecah-belah, rantau Asia Pasifik mesti membuktikan bahawa kepelbagaian tidak semestinya membawa kepada perpecahan, persaingan tidak semestinya mengorbankan kerjasama dan kemakmuran tidak seharusnya menjadi hak eksklusif segelintir pihak,” kata beliau dalam Kenyataan Negara pada Mesyuarat Pemimpin Ekonomi APEC di sini hari ini.

Anwar, yang juga Menteri Kewangan berkata Malaysia berpandangan bahawa kerjasama serantau juga harus berfungsi sebagai jambatan kepada perkongsian global yang lebih luas, khususnya dengan ekonomi-ekonomi membangun dan negara-negara Selatan Global.

Advertisement

Beliau berkata, kesalinghubungan yang lebih erat merentasi rantau akan memperkukuh daya tahan ekonomi dan menyumbang ke arah susunan ekonomi global yang lebih seimbang dan saksama.

“Komuniti Asia-Pasifik perlu berpandangan jauh dan bersifat inklusif,” tambah beliau.

Advertisement

Anwar berkata Malaysia juga tegas memperjuangkan pendekatan yang bersatu dan berteraskan etika dalam tadbir urus digital dan kecerdasan buatan (AI).

“Kita mesti memastikan kemajuan teknologi berupaya memperkasakan semua ekonomi, khususnya negara-negara Selatan Global, dan bukannya mendedahkan mereka kepada eksploitasi yang berniat jahat,” jelas beliau lagi.

Perdana Menteri berada di Shenzhen, wilayah Guangdong, yang terletak di utara Hong Kong, bagi menghadiri Minggu Pemimpin Ekonomi APEC (AELW) ke-33 yang berakhir hari ini.

APEC merupakan forum antara kerajaan bagi 21 ekonomi anggota yang bersempadan dengan Lautan Pasifik bermatlamat menggalakkan perdagangan bebas di seluruh rantau Asia-Pasifik. Rantau itu merangkumi hampir 40 peratus populasi dunia, hampir separuh daripada perdagangan global dan lebih 60 peratus daripada ekonomi global.

Malaysia adalah antara 12 anggota pengasas APEC. Anggota lain ialah Australia, Brunei, Kanada, Indonesia, Jepun, Korea Selatan, New Zealand, Amerika Syarikat (AS), Filipina, Singapura dan Thailand. 

China, Hong Kong, Taiwan, Mexico dan Papua New Guinea menyertainya pada 1993. Chile pada 1994, diikuti Peru, Rusia dan Vietnam pada 1998 yang menjadikan jumlah keahlian penuh sebanyak 21 anggota.

-- BERNAMA

Must Watch Video

Advertisement