10 peratus pelajar sekolah tinggi Jepun salah guna ubat belian kaunter - Tinjauan

Kadar penyalahgunaan dianggarkan 1.4 peratus dalam kalangan semua pelajar sekolah tinggi, atau kira-kira 1 dalam 70. - Gambar hiasan/Pixabay
TOKYO: Kira-kira 10 peratus pelajar sekolah tinggi Jepun yang pernah menyalahgunakan ubat belian kaunter (OTC) seperti ubat batuk dalam tempoh setahun lepas melaporkan menggunakannya beberapa kali seminggu atau lebih, lapor Kyodo News, seperti dipetik Xinhua.
Dalam kalangan pelajar yang mempunyai pengalaman penyalahgunaan dadah setahun lepas, 4.6 peratus berkata mereka menggunakan dadah hampir setiap hari, manakala 6.3 peratus berkata mereka menggunakannya beberapa kali seminggu, secara bersama mencecah kira-kira 10 peratus daripada jumlah keseluruhan, menurut laporan itu, memetik tinjauan fiskal 2024 oleh pasukan penyelidikan Kementerian Kesihatan.
Bagi menganggarkan kadar penyalahgunaan dadah, pasukan penyelidikan itu bertanya peserta sama ada mereka mengambil ubat OTC melebihi jumlah atau kekerapan yang ditetapkan dalam tempoh setahun lepas "untuk berada dalam khayalan atau mengubah keadaan perasaan," menurut laporan itu.
Kadar penyalahgunaan dianggarkan 1.4 peratus dalam kalangan semua pelajar sekolah tinggi, atau kira-kira 1 dalam 70, dengan 0.9 peratus bagi lelaki dan 1.7 peratus bagi perempuan, berdasarkan satu tinjauan yang dikeluarkan pada Jumaat.
Kekerapan penyalahgunaan dadah dikira buat pertama kali dalam tinjauan terkini yang dijalankan antara September 2024 dan Februari tahun ini, dengan 51,000 orang memberi respons sah, di tengah-tengah kebimbangan semakin meningkat berhubung penggunaan berlebihan, termasuk pengambilan ubat tahan sakit tanpa preskripsi dalam kalangan golongan muda.
Kementerian kesihatan menjalankan tinjauan nasional setiap tiga tahun terhadap pelajar sekolah tinggi berhubung pengambilan alkohol, merokok dan penyalahgunaan dadah. Tinjauan 2021 mendapati 1.6 peratus pelajar sekolah tinggi di Jepun menyalahgunakan ubat OTC, bersamaan kira-kira 1 dalam 60 pelajar.
-- BERNAMA
Must-Watch Video
Cara lain mengikuti berita kami


