KUCHING: AirBorneo menasihatkan penumpang bersedia menghadapi kemungkinan kelewatan, pembatalan dan perubahan jadual penerbangan dalam tempoh beberapa hari lagi, susulan gangguan operasi yang menjejaskan penerbangan di seluruh Sabah dan Sarawak sejak 5 Jun.
Syarikat penerbangan itu dalam satu kenyataan pada Isnin memaklumkan, gangguan berkenaan berpunca daripada kerja pembaikan teknikal tidak berjadual ke atas beberapa pesawat, aktiviti penyelenggaraan berjadual yang sedang dijalankan serta keperluan operasi dan kru.
Menurut AirBorneo, aspek keselamatan tetap menjadi keutamaan, termasuk menghentikan sementara operasi pesawat yang memerlukan pemeriksaan teknikal sebagai langkah berjaga-jaga sehingga jurutera berpuas hati bahawa pesawat berkenaan selamat untuk beroperasi.
“Berikutan beberapa pesawat menjalani penyelenggaraan dan pemeriksaan teknikal secara serentak, operasi kami agak terhad buat sementara waktu. Justeru, penumpang mungkin akan mengalami perubahan jadual, pembatalan dan kelewatan dalam beberapa hari akan datang,” menurut kenyataan itu.
Penumpang dinasihatkan supaya menyemak status penerbangan sebelum ke lapangan terbang bagi mengelakkan sebarang kesulitan.
Menurut syarikat penerbangan itu, pasukannya sedang berusaha untuk mengurangkan gangguan serta menempatkan semula penumpang yang terjejas kepada penerbangan alternatif.
AirBorneo komited untuk memastikan isu berkenaan dapat dipulihkan secepat mungkin tanpa menjejaskan aspek keselamatan, di samping terus menyediakan perkhimatan udara yang selamat dan boleh dipercayai di Sabah dan Sarawak.
Syarikat itu turut merakamkan penghargaan kepada penumpang atas kesabaran dan kerjasama yang diberikan sepanjang tempoh gangguan berkenaan.
Penumpang yang terjejas akan dihubungi secara terus, selain boleh menghubungi pasukan Khidmat Pelanggan menerusi talian +60-8253 7555 (antarabangsa) atau 1 300 22 1388 (tempatan) atau melalui airborneo.com/en/contact-us untuk maklumat terkini, penjadualan semula dan bantuan.
-- BERNAMA