KLANG: Hospital Tengku Ampuan Rahimah (HTAR) di sini telah melaksanakan langkah kawalan secara berkala bagi mengawal gangguan burung merpati memasuki wad hospital itu.
HTAR menerusi kenyataan pada Isnin memaklumkan, antara langkah itu ialah pemangkasan pokok oleh syarikat konsesi dan pemantauan berterusan di kawasan wad serta bangunan hospital.
Hospital itu turut mendapatkan kerjasama pihak berkuasa tempatan (PBT) bagi memperkukuh usaha mengawal gangguan burung di kawasan hospital.
“Untuk makluman, terdapat burung merpati dan gagak menjadikan pokok di sekitar hospital sebagai habitat. Keadaan ini berpotensi menyebabkan burung memasuki kawasan bangunan hospital secara tidak sengaja.
“Semua langkah yang bersesuaian akan terus dilaksanakan dari semasa ke semasa bagi mengurangkan risiko kejadian seumpama ini berulang,” menurut kenyataan itu.
HTAR memaklumkan, pihak hospital komited untuk memastikan persekitaran hospital sentiasa selamat, bersih dan kondusif demi kesejahteraan pesakit, pelawat serta warga kerja hospital.
Terdahulu, video memaparkan beberapa burung merpati di dalam wad sebuah hospital tular di media sosial.
-- BERNAMA