DUNIA
100,000 kematian akibat gelombang haba pada 2023 - Kajian

Penyelidik mendapati gelombang haba pada 2023 berlaku dalam tahun paling panas yang pernah direkodkan, dengan suhu 1.45 darjah Celsius lebih tinggi daripada paras sebelum era perindustrian. - Gambar hiasan
MELBOURNE: Hampir 100,000 kematian akibat gelombang haba luar biasa pada 2023 dikaitkan dengan perubahan iklim yang didorong oleh manusia, menurut satu kajian global yang diterajui Australia, lapor Xinhua.
Kajian yang dikeluarkan pada Selasa itu mendapati gelombang haba yang memecah rekod pada 2023 menyebabkan 178,486 kematian berlebihan di seluruh dunia, bersamaan dengan 23 kematian bagi setiap sejuta orang, dengan lebih separuh daripadanya dikaitkan dengan perubahan iklim akibat aktiviti manusia.
Berdasarkan data iklim dan kematian dari 2,013 lokasi di 67 negara dan wilayah, pasukan penyelidik antarabangsa mendapati kira-kira 54 peratus daripada kematian atau hampir 97,000 orang berpunca daripada pemanasan global yang disebabkan oleh manusia.
Penyelidik mendapati gelombang haba pada 2023 berlaku dalam tahun paling panas yang pernah direkodkan, dengan suhu 1.45 darjah Celsius lebih tinggi daripada paras sebelum era perindustrian.Eropah Selatan mencatatkan kadar kematian akibat gelombang haba tertinggi pada 2023, iaitu 120 bagi setiap sejuta orang, diikuti oleh Eropah Timur dan Barat, menurut penyelidik daripada Universiti Monash, Australia dan rakan-rakan global.
Kematian berkaitan gelombang haba tertumpu di zon subtropika dan beriklim sederhana di Hemisfera Utara, di mana suhu ekstrem yang berpanjangan memburukkan lagi keadaan kesihatan kronik seperti masalah kardiovaskular, pernafasan dan lain-lain, menurut kajian itu.
Penemuan ini menyerlahkan "keperluan mendesak untuk campur tangan kesihatan awam yang mudah suai dan strategi pengurangan iklim bagi mengurangkan beban kematian pada masa hadapan dalam konteks pemanasan global yang semakin meningkat," menurut laporan itu.
-- BERNAMA
Must-Watch Video
Cara lain mengikuti berita kami