Skip to main content

Bisnes

Permintaan kargo udara naik 4.0 peratus pada April - IATA

Willie Walsh, director general of the International Air Transport Association (IATA), speaks at a press briefing during the annual IATA meeting in New Delhi, India, June 2, 2025. REUTERS/Anushree Fadnavis/File Photo
Walsh berkata kargo udara sekali lagi memastikan rantaian bekalan bergerak aktif dalam persekitaran gangguan perdagangan, dengan pesawat kargo khusus membawa sebahagian besar pertumbuhan. - Gambar fail/Reuters

KUALA LUMPUR: Jumlah permintaan kargo udara global, yang diukur dalam tan-kilometer kargo, meningkat sebanyak 4.0 peratus pada April 2026 berbanding paras pada April 2025 (4.0 peratus bagi operasi antarabangsa), menurut Persatuan Pengangkutan Udara Antarabangsa (IATA).

Kapasiti, diukur dalam tan-kilometer kargo tersedia, susut sebanyak 0.4 peratus berbanding April 2025 (0.9 peratus bagi operasi antarabangsa).

Ketua Pengarah IATA, Willie Walsh berkata pertumbuhan kargo udara global tahun ke tahun pada April didorong oleh aliran perdagangan yang kukuh berkaitan Asia.

“Bagaimanapun, berita positif ini menyembunyikan persekitaran operasi yang lebih rumit. Gangguan teruk di hab-hab utama di Teluk Parsi akibat perang di Asia Barat berterusan mengubah laluan perdagangan dan mengehadkan kapasiti di koridor-koridor utama,” menurut IATA dalam satu kenyataan semalam.

IATA memaklumkan bahawa permintaan kargo udara untuk syarikat penerbangan dari Asia Pasifik meningkat 10.5 peratus tahun ke tahun pada bulan April, peningkatan paling kukuh berbanding semua rantau lain, manakala kapasiti menokok sebanyak 5.3 peratus tahun ke tahun.

“Syarikat-syarikat penerbangan dari Asia Pasifik berfungsi sebagai enjin utama pertumbuhan kargo global, menyumbang lebih separuh daripada jumlah industri tambahan.

“Aktiviti intra-Asia yang kukuh dan aliran trans-Pasifik berdaya tahan mengekalkan momentum serantau,” menurut persatuan itu.

Selain itu, IATA memaklumkan bahawa Eropah dan Amerika Utara juga menyumbang secara positif, mendapat manfaat daripada peningkatan aliran antarabangsa dan aktiviti koridor kukuh dengan Asia.

“Pertumbuhan oleh syarikat-syarikat penerbangan dari Afrika mencerminkan aktiviti memberangsangkan di rangkaian berkaitan Asia,” menurut kenyataan itu.

Menurut IATA, beberapa faktor dalam persekitaran operasi harus diberi perhatian, iaitu harga bahan api jet meningkat secara mendadak pada bulan April, meningkat 121.1 peratus tahun ke tahun, dan lonjakan harga minyak mentah sebanyak 77.7 peratus, manakala perdagangan global menguncup pada bulan Mac sebanyak 2.1 peratus bulan ke bulan, menunjukkan kelemahan momentum perdagangan yang berterusan terhadap kejutan geopolitik.

Dalam pada itu, Indeks Pengurus Pembelian (PMI) menokok 1.9 mata kepada 53.4, manakala PMI untuk pesanan eksport baharu mencapai 50.2, menunjukkan keadaan kekal menyokong permintaan kargo udara.

Walsh berkata kargo udara sekali lagi memastikan rantaian bekalan bergerak aktif dalam persekitaran gangguan perdagangan, dengan pesawat kargo khusus membawa sebahagian besar pertumbuhan.

“Beberapa bulan akan datang akan menguji sejauh mana sektor ini dapat menyerap ketidakpastian geopolitik yang berterusan dan kos operasi tinggi,” katanya.

Bagi prestasi serantau lain, syarikat-syarikat penerbangan dari Amerika Utara menyaksikan peningkatan permintaan kargo udara sebanyak 5.0 peratus tahun ke tahun pada bulan April, syarikat-syarikat penerbangan dari Eropah pula naik 6.0 peratus dan syarikat-syarikat penerbangan dari Afrika berkembang 7.7 peratus; manakala syarikat penerbangan dari Asia Barat menyaksikan kemerosotan sebanyak 18.2 peratus tahun ke tahun dalam permintaan kargo udara pada bulan April, prestasi paling lemah dalam kalangan semua rantau.

Sementara itu, syarikat-syarikat penerbangan dari Amerika Latin dan Caribbean menyaksikan penurunan permintaan kargo udara sebanyak 2.8 peratus tahun ke tahun bulan lalu.

IATA mewakili lebih 360 syarikat penerbangan yang menyumbang kira-kira 85 peratus daripada trafik udara global.

-- BERNAMA

Must Watch Video

Advertisement