SEKURANG-kurangnya 12 mangsa maut di negeri Rio Grande do Sul, selatan Brazil, selepas taufan tropika melanda wilayah itu sejak Jumaat lalu.

Kerajaan Rio Grande do Sul dalam kenyataan berkata, ribut itu membawa hujan lebat tanpa henti selama lebih sehari.

Usaha pencarian menggunakan helikopter diteruskan di kawasan dilanda banjir bagi mengesan 20 lagi mangsa yang hilang.

Gabenor Rio Grande do Sul, Eduardo Leite, berkata kawasan paling teruk terjejas akibat taufan ialah pekan Caraa, yang dihuni lebih 8,000 penduduk.

Menurutnya, amat penting bagi pihak berkuasa menyelaras usaha bagi mengesan kawasan itu memandangkan keadaan di Caraa amat membimbangkan.

Beliau yang sebelum itu meninjau lokasi kejadian berkata, pihak berkuasa mengenal pasti mereka yang sangat terdesak memerlukan bantuan segera.

Kata Leite, sebahagian besar penduduk di kawasan terjejas kini berlindung di kompleks sukan di kejiranan masing-masing.

Menurut pihak berkuasa, Jumaat lalu, Maquine, daerah di pesisir pantai timur Brazil, menerima hampir 0.3 meter hujan dalam tempoh sehari.

Pihak berkuasa juga mengeluarkan amaran risiko tanah runtuh di beberapa kawasan dan sudah melaksanakan 2,400 operasi menyelamat sejak dua hari lalu.

Antara lain, objektifnya ialah untuk melindungi dan menyelamatkan lebih banyak nyawa manusia.

Ujarnya, ketika mana usaha menyelamat digerakkan, pihak berkuasa masih menemui mangsa yang terkandas, mencari orang hilang dan memberi sokongan kepada keluarga mangsa.

Banjir besar dengan kesan buruk semakin menjadi perkara biasa di Brazil, di mana negara Amerika Latin itu sememangnya sering berdepan ancaman banjir sudah berdekad-dekad lamanya.