BISNES
Eksport nadir bumi ke AS tanpa sebarang sekatan bukan hak eksklusif kepada AS - Tengku Zafrul

Tengku Zafrul berkata isu sekatan eksport dan transit cip kecerdasan buatan dari AS ke negara-negara tertentu turut dibincangkan di bawah seksyen tersebut. - Gambar fail
KUALA LUMPUR: Langkah Malaysia tidak mengenakan sebarang sekatan eksport ke atas bekalan unsur nadir bumi/mineral kritikal kepada Amerika Syarikat (AS) tidak bermaksud negara memberikan hak eksklusif kepada AS bagi bekalan tersebut.
Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri Tengku Datuk Seri Zafrul Abdul Aziz berkata komitmen ini dibuat memandangkan negara pada masa ini tidak mengenakan sekatan eksport unsur nadir bumi/mineral kritikal kepada mana-mana negara.
Langkah itu juga merupakan persetujuan yang dicapai di bawah Seksyen 5 - Keselamatan Ekonomi dan Negara dalam skop rundingan antara Malaysia dan AS, katanya pada persidangan Dewan Rakyat hari ini.
Beliau berkata isu sekatan eksport dan transit cip kecerdasan buatan (AI) dari AS ke negara-negara tertentu turut dibincangkan di bawah seksyen tersebut."Malaysia bersetuju memperkukuh kawalan dengan menguatkuasakan Seksyen 12 Akta Perdagangan Strategik 2010 (kawalan menyeluruh - catch-all control) berkuat kuasa pada 14 Julai 2025," katanya.
Tengku Zafrul berkata rundingan penurunan/penghapusan tarif pada awalnya hanya tertumpu kepada senarai permintaan spesifik daripada AS tetapi kemudiannya dikembangkan bagi merangkumi keseluruhan jenis barangan yang diimport dari AS.
"Hasilnya, Malaysia telah menawarkan penurunan/penghapusan tarif (duti import) bagi 98.4 peratus daripada jumlah keseluruhan baris tarif," katanya.
Mengenai cukai jualan, katanya Malaysia bersetuju untuk memberikan pengecualian cukai jualan yang mendiskriminasikan produk pertanian yang diimport dari AS seperti buah-buahan dan makanan laut.
"Malaysia turut berpegang teguh untuk tidak menawarkan penghapusan atau pengecualian duti eksais," katanya.
Dalam pada itu, Tengku Zafrul menegaskan bahawa Malaysia tidak melonggarkan sebarang kawalan dan syarat yang akan menjejaskan hak rakyat dan kelangsungan industri tempatan, iaitu memberikan pengecualian menyeluruh kepada syarat lesen pengimport bagi produk yang diimport dari AS.
"Selain itu, tiada liberalisasi penuh bagi syarat ekuiti/pegangan asing dalam sektor strategik. Syarat ekuiti bumiputera juga dikekalkan bagi sektor strategik berkaitan," katanya.
Di bawah Seksyen 3 - perdagangan digital dan teknologi, katanya Malaysia bersetuju tidak akan mengenakan cukai perkhidmatan digital (DST) yang bersifat diskriminasi terhadap syarikat AS.
"Saya ingin tekankan bahawa Malaysia sememangnya merupakan negara yang melaksanakan dasar DST dan percukaian seumpamanya berlandaskan prinsip tanpa diskriminasi," katanya.
Beliau berkata kerajaan turut bersetuju memansuhkan keperluan untuk platform media sosial dan penyedia perkhidmatan awan dari AS menyumbang 6 peratus daripada jumlah pendapatan mereka di Malaysia kepada Tabung Universal Service Provision (USP), sebagai antara syarat untuk mereka beroperasi di Malaysia.
Katanya Malaysia juga memansuhkan atau menggantung secara kekal arahan untuk semua trafik Sistem Nama Domain (DNS) dialihkan kepada perkhidmatan DNS tempatan.
Tengku Zafrul berkata AS turut menyatakan keutamaan untuk pelaksanaan langkah-langkah kawalan ke atas aktiviti eksport, terutamanya penghantaran semula bagi memastikan tiada berlakunya pemintasan atau pengelakan pembayaran cukai melalui deklarasi tempasal (origin) palsu.
Selain daripada komitmen untuk berunding peraturan tempasal, katanya kerajaan secara proaktif telah mengambil langkah untuk mengawal perkara ini dengan memperketat pengeluaran Sijil Tempasal Bukan Keutamaan (NPCO).
"Berkuat kuasa 6 Mei 2025, MITI merupakan satu-satunya pihak berkuasa yang mengeluarkan NPCO untuk semua eksport ke AS," katanya.
-- BERNAMA
Must-Watch Video
Cara lain mengikuti berita kami