NEW YORK: Lebih 123,000 orang hilang tempat tinggal di Gaza akibat serangan berterusan Israel, kata Pejabat Penyelarasan Hal Ehwal Kemanusiaan (OCHA) Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) pada Isnin, lapor Xinhua.

Serangan udara dan tembakan oleh Israel memusnahkan rumah dan bangunan pangsapuri, dengan empat menara kediaman besar di Gaza City musnah.

Enam pekerja penjagaan kesihatan terbunuh dan empat lagi cedera, selain tujuh kemudahan penjagaan kesihatan dan sembilan ambulans rosak.

Kerosakan kemudahan air, sanitasi dan kebersihan telah menjejaskan perkhidmatan kepada lebih 400,000 orang di Gaza.

[LAPOR LANGSUNG] Perang Palestin-Israel: 687 terbunuh di Gaza, 17 di Tebing Barat

Loji Janakuasa Gaza kini merupakan satu-satunya sumber elektrik dan boleh kehabisan bahan api dalam tempoh beberapa hari, menurut OCHA.

Agensi Kerja dan Bantuan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu bagi Pelarian Palestin (UNRWA) menganggarkan lebih separuh daripada mereka yang kehilangan tempat tinggal berlindung di berpuluh-puluh sekolah.

UNRWA menyediakan pusat-pusat perlindungan kecemasan serta menyediakan bantuan kritikal, menurut pejabat itu.

Bantuan tunai juga diperlukan untuk penduduk yang hilang tempat tinggal dan komuniti tuan rumah di Gaza.

Rakan kongsi kemanusiaan sedang berusaha untuk menyediakan kit bantuan dan sokongan psikososial untuk keluarga yang terjejas.

Program Makanan Sedunia (WFP) telah mula mengagihkan makanan kepada sehingga 100,000 orang yang kehilangan tempat tinggal di Gaza, yang berlindung di UNRWA, kata Stephane Dujarric, jurucakap Setiausaha Agung PBB Antonio Guterres.

Dalam beberapa hari akan datang, WFP merancang melancarkan bantuan kepada sehingga 800,000 orang jika bantuan makanan dan wang tunai disediakan. WFP memerlukan AS$16.8 juta untuk membantu 805,000 orang pada bulan depan, katanya pada taklimat harian media.

Guterres pada Isnin berkata beliau tertekan dengan pengumuman Israel bahawa ia akan memulakan pengepungan sepenuhnya di Semenanjung Gaza, dan tidak membenarkan sebarang bantuan masuk, selain tiada elektrik, makanan atau bahan api.

Situasi kemanusiaan di Gaza sudah pun amat teruk walaupun sebelum keganasan meningkat secara mendadak pada hujung minggu.

Peralatan perubatan, makanan, bahan api dan bekalan kemanusiaan lain amat diperlukan, serta akses untuk kakitangan kemanusiaan. Bantuan dan kemasukan bekalan penting ke Gaza mesti dipermudahkan, katanya.

Sebuah sekolah UNRWA yang melindungi kira-kira 225 orang rosak teruk pada hujung minggu, namun tiada kemalangan jiwa direkodkan.

Selain itu, semua sekolah UNRWA di seluruh Semenanjung Gaza ditutup, menyaksikan lebih 300,000 pelajar terjejas.

UNRWA mempunyai 13,000 kakitangan di Gaza, sebahagian besar daripada mereka adalah petugas tempatan.

-- BERNAMA