KUALA LUMPUR: Dianggarkan 1.4 juta penduduk, atau kira-kira dua pertiga daripada populasi Gaza, kekal pada tahap krisis keterjaminan makanan akut atau lebih buruk berbanding sebelum ini, menurut analisis Klasifikasi Fasa Keterjaminan Makanan Bersepadu (IPC) terkini.
Timbalan Penyelaras Khas Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) bagi Proses Keamanan Asia Barat merangkap Penyelaras Kemanusiaan dan Residen bagi Wilayah Palestin yang Diduduki, Dr Ramiz Alakbarov berkata, lebih 200,000 orang terus berdepan tahap Keterjaminan Makanan Kecemasan, yang diklasifikasikan sebagai IPC Fasa 4.
"Analisis Klasifikasi Fasa Keterjaminan Makanan Bersepadu terkini memberikan galakan yang berhati-hati," katanya dalam kenyataan yang dikeluarkan oleh Pusat Komunikasi Kerajaan Palestin pada Isnin.
Alakbarov berkata, analisis itu mengesahkan bahawa keterjaminan makanan dan pemakanan kanak-kanak telah meningkat di seluruh Gaza berbanding penilaian terdahulu. Ini membuktikan impak positif bantuan kemanusiaan apabila ia sampai kepada sasaran pada skala yang besar.
Beliau berkata, penambahbaikan itu dipacu terutamanya oleh perluasan signifikan bantuan kemanusiaan susulan gencatan senjata pada Oktober 2025, melalui bantuan makanan, program pemakanan, perkhidmatan kesihatan dan sokongan tunai yang secara kolektif mengurangkan ketakjaminan makanan akut serta menambah baik status pemakanan kanak-kanak.
Begitupun, Alakbarov memberi amaran bahawa situasi kemanusiaan kekal amat rapuh berikutan sesebuah isi rumah masih bergantung sepenuhnya kepada bantuan kemanusiaan memandangkan mata pencarian, sistem makanan dan perkhidmatan awam penting masih terjejas teruk.
Beliau berkata, usaha pemulihan terus terhad akibat sekatan ke atas akses dan pergerakan.
Memandangkan hanya satu laluan sempadan beroperasi untuk pergerakan barangan, bekalan kemanusiaan dan komersial kekal tidak mencukupi bagi menampung keperluan atau menyokong pemulihan ekonomi pada skala yang diperlukan.
Sektor pertanian kekal terjejas teruk, dengan sebahagian besar tanah pertanian tidak dapat diakses, pengeluaran makanan tempatan sangat terhad dan sekatan ke atas kemasukan input pertanian penting menjejaskan usaha memulihkan mata pencarian serta memperkasakan keterjaminan makanan, katanya.
Walaupun kemerosotan zat makanan akut telah berkurangan, Alakbarov berkata, puluhan ribu kanak-kanak dijangka masih memerlukan rawatan sepanjang tahun akan datang, selain ribuan wanita hamil dan ibu yang menyusukan anak memerlukan sokongan pemakanan.
“Dapatan IPC mengukuhkan mesej penting: bantuan kemanusiaan menyelamatkan nyawa dan membuahkan hasil nyata, namun kejayaan ini hanya boleh dikekalkan sekiranya akses kemanusiaan berterusan, aktiviti komersial disambung semula secara beransur-ansur, perkhidmatan asas dipulihkan dan usaha pemulihan dibiayai secukupnya,” katanya.
Alakbarov berkata, PBB akan terus bekerjasama rapat dengan Kementerian Pembangunan Sosial dan rakan lain bagi mengekalkan kemajuan yang dicapai, memulihkan mata pencarian serta perkhidmatan penting, dan menyokong pemulihan awal.
-- BERNAMA