HYDERABAD: Sekurang-kurangnya 14 orang terbunuh manakala puluhan lagi cedera dalam satu letupan di sebuah kemudahan penyimpanan mercun di negeri Kerala, selatan India, pada Selasa.
Mercun berkenaan dilaporkan sedang disiapkan untuk digunakan sempena perayaan keagamaan tahunan Thrissur Pooram yang dijadual berlangsung pada 24 April.
Advertisement
Letupan dan kebakaran yang berlaku di kemudahan itu, terletak di kawasan sawah padi di Mundathikode, daerah Thrissur, mencetuskan panik dalam kalangan penduduk setempat.
Media tempatan melaporkan kemudahan tersebut menghasilkan mercun untuk Kuil Thiruvambadi Krishna, salah satu penganjur utama perayaan Pooram.
Daripada jumlah yang cedera, 10 mangsa kini dirawat di unit rawatan rapi Hospital Kolej Perubatan Thrissur, menurut Menteri Kesihatan Kerala, Veena George.
Insiden ini merupakan letupan besar kedua melibatkan kemudahan pembuatan mercun di selatan India dalam tempoh beberapa hari.
Pada Ahad lalu, seramai 25 pekerja terkorban dalam satu kejadian letupan di daerah Virudhunagar, negeri Tamil Nadu.
Pihak berkuasa sedang menjalankan siasatan bagi mengenal pasti punca kejadian terbaharu itu, ketika kebimbangan berhubung keselamatan industri mercun terus meningkat menjelang musim perayaan.