Skip to main content

Dunia

14 maut dalam serangan pengebom berani mati di luar balai polis di Swat, Pakistan

Suspected suicide bombing at police station kills at least 14 in Pakistan, officials say_REUTERS
Orang ramai berkumpul di luar Pusat Trauma Hospital Sheikh Khalifa di Swat, Pakistan, selepas satu serangan pengebom berani mati berhampiran sebuah balai polis mengorbankan sekurang-kurangnya 14 orang dan mencederakan puluhan yang lain. - Foto REUTERS
Advertisement

PESHAWAR: Sekurang-kurangnya 14 orang terbunuh manakala lebih 20 lagi cedera dalam serangan pengebom berani mati di luar sebuah balai polis di Lembah Swat, barat laut Pakistan, ketika ratusan penduduk berhimpun bagi membantah peningkatan keganasan di wilayah itu.

Kejadian berlaku pada petang Ahad di Kabal, sebuah bandar di daerah Swat, wilayah Khyber Pakhtunkhwa yang terletak berhampiran sempadan Afghanistan.

Menurut Ketua Polis Daerah Swat, Umar Khan, pengebom berani mati itu meletupkan bahan letupan yang dibawanya selepas anggota polis cuba menahan dan memeriksanya di pintu masuk balai polis berkenaan.

Timbalan Ketua Polis Swat, Fida Hussain, berkata sekurang-kurangnya 22 orang mengalami kecederaan dalam letupan itu, manakala setakat ini tiada kumpulan mengaku bertanggungjawab terhadap serangan tersebut.

Letupan berlaku berhampiran lokasi himpunan yang dihadiri ratusan penduduk tempatan yang menuntut tindakan kerajaan bagi menangani peningkatan serangan bersenjata dan aktiviti militan di wilayah berkenaan.

Saksi berkata letupan berlaku ketika seorang penceramah sedang menyampaikan ucapan terakhir, menyebabkan orang ramai bertempiaran menyelamatkan diri.

Perhimpunan itu dianjurkan bagi membantah kebangkitan semula kumpulan bersenjata di Swat yang suatu ketika dahulu menjadi kubu kuat Tehreek-e-Taliban Pakistan (TTP) sebelum kumpulan itu diusir melalui operasi ketenteraan besar-besaran pada 2009.

Penganjur dan penduduk tempatan mendakwa pihak berkuasa gagal mengambil tindakan tegas terhadap kumpulan bersenjata yang didakwa masih aktif di kawasan pergunungan sekitar Swat.

Presiden Pakistan Asif Ali Zardari dan Perdana Menteri Shehbaz Sharif mengutuk serangan itu serta menyampaikan ucapan takziah kepada keluarga mangsa.

Mereka turut mengarahkan pihak berkuasa memastikan semua mangsa yang cedera menerima rawatan terbaik.

Dalam kenyataan berasingan, kedua-dua pemimpin itu menegaskan bahawa Pakistan akan meneruskan usaha memerangi keganasan sehingga ancaman tersebut dihapuskan sepenuhnya. Menteri Dalam Negeri Mohsin Naqvi turut mengecam serangan berkenaan.

Pasukan keselamatan telah menutup kawasan kejadian dan melancarkan siasatan bagi mengenal pasti dalang serangan. Mangsa yang cedera dikejarkan ke hospital di Saidu Sharif untuk menerima rawatan, dengan sebahagian daripada mereka dilaporkan berada dalam keadaan kritikal.

Serangan itu berlaku ketika wilayah Khyber Pakhtunkhwa berdepan peningkatan ketara insiden keganasan sejak beberapa bulan kebelakangan ini.

Beberapa serangan terdahulu yang menyasarkan anggota keselamatan telah mengorbankan puluhan nyawa, sekali gus meningkatkan kebimbangan terhadap kebangkitan semula kumpulan militan di kawasan sempadan Pakistan-Afghanistan.

 

 

Must Watch Video

Advertisement