DUNIA

15 anggota tentera Thailand terbunuh dalam pertempuran sempadan dengan Kemboja

Astro Awani 13/12/2025 | 23:15 MYT
Sebuah rumah terbakar akibat serangan sementara anggota bomba menyembur air dan mengeluarkan tong gas dari kediaman yang hangus. - Foto REUTERS
BANGKOK: Sekurang-kurangnya 15 anggota tentera Thailand terbunuh manakala 270 lagi cedera dalam pertempuran terbaharu di sempadan Thailand-Kemboja, menurut jurucakap Kementerian Pertahanan Thailand, Surasant Kongsiri, dalam sidang media pada Sabtu.


Ringkasan AI
  • Sekurang-kurangnya 15 anggota tentera Thailand terbunuh dan 270 cedera dalam pertempuran terbaharu di sempadan Thailand-Kemboja.
  • Konflik berlaku di wilayah Sisaket Thailand dan Banteay Meanchey Kemboja, dengan pertelingkahan antara kedua negara terus berlanjutan.
  • Thailand menubuhkan 970 pusat perlindungan sementara bagi lebih 263,000 orang yang dipindahkan akibat pertempuran, sementara kematian dalam kalangan rakyat awam Thailand meningkat kepada tujuh.


Pertempuran yang bermula sejak 7 Disember itu menyaksikan kedua-dua negara saling menuduh antara satu sama lain sebagai pihak yang memulakan serangan.

Konflik ini tertumpu di kawasan sempadan yang dipertikaikan, termasuk wilayah Sisaket di Thailand dan Banteay Meanchey di Kemboja.

Menurut Surasant, Thailand telah menubuhkan 970 pusat perlindungan sementara yang kini menempatkan lebih 263,000 orang yang dipindahkan akibat pertempuran.

Beliau turut mengesahkan bahawa angka kematian dalam kalangan orang awam Thailand telah meningkat kepada tujuh.

Dalam kenyataan berasingan, Tentera Diraja Thailand (RTA) mendakwa bahawa tentera Kemboja telah melancarkan serangan ke atas kawasan awam di wilayah Sisaket, menyebabkan dua orang cedera parah.

Serangan itu berlaku ketika penduduk tempatan sedang bergegas ke tempat perlindungan selepas mendengar amaran serangan udara.

RTA mengecam keras tindakan ketenteraan Kemboja dan menyifatkannya sebagai serangan terhadap keselamatan rakyat awam.

Setakat ini, pihak Kemboja belum mengeluarkan sebarang kenyataan balas terhadap dakwaan tersebut.

Bagaimanapun, Kementerian Dalam Negeri Kemboja dalam kenyataan media pada Sabtu mengumumkan penutupan semua pintu sempadan dengan Thailand sehingga diberitahu kelak.

Menurut kenyataan itu, langkah tersebut diambil sebagai tindak balas terhadap “tindakan pencerobohan” oleh Thailand yang didakwa telah menyebabkan kematian orang awam serta kerosakan infrastruktur dan kawasan kediaman.

Warga Kemboja yang kini berada dan bekerja di Thailand dinasihatkan untuk terus tinggal seperti biasa, manakala rakyat Thailand di Kemboja juga diminta kekal di negara itu sehingga satu gencatan senjata dicapai.






#konflik Thailand-Kemboja #Anggota tentera #pertempuran #sempadan