DUNIA
19 terbunuh dalam serangan udara Rusia ke atas penjara, hospital di Ukraine

Bangunan penjara yang mengalami kemusnahan dan kerosakan akibat serangan udara Rusia di wilayah Zaporizhzhia, Ukraine, pada Selasa. - Gambar AP
ZAPORIZHZHIA, UKRAINE: Sekurang-kurangnya 19 orang terbunuh dalam serangan udara Rusia yang menyasarkan sebuah penjara dan hospital di tenggara Ukraine, kata pihak berkuasa negara itu pada Selasa, ketika Presiden Amerika Syarikat, Donald Trump, memberi amaran kepada Moscow supaya menunjukkan kemajuan menghentikan perang dalam tempoh 10 hari atau berdepan tindakan tegas.
Presiden Ukraine, Volodymyr Zelenskyy memaklumkan, 6 maut dan 43 lagi cedera apabila Rusia mengebom sebuah penjara berhampiran barisan hadapan di wilayah Zaporizhzhia.
“Rusia tahu ia adalah kemudahan awam. Mereka tidak mungkin tidak sedar,” kata Zelenskyy.
“Setiap serangan seperti ini, setiap keangkuhan Rusia terhadap gesaan global supaya perang dihentikan, hanya mengesahkan bahawa tekanan antarabangsa perlu dipertingkatkan.”Dalam serangan berasingan, peluru berpandu mengenai sebuah hospital di wilayah Dnipropetrovsk yang berjiran, mengorbankan seorang wanita hamil berusia 23 tahun dan dua individu lain, menjadikan jumlah kematian dalam tempoh 24 jam terakhir meningkat kepada 22 orang.
Kementerian Kehakiman Ukraine melaporkan, dewan makan penjara tersebut musnah sepenuhnya, manakala beberapa bahagian lain turut rosak akibat serangan yang melibatkan empat bom berkuasa tinggi. Seramai 42 mangsa dilaporkan cedera.
“Orang ramai menjerit, mengerang kesakitan. Ada yang mati, ada yang masih hidup, ada yang hilang kaki – separuh daripada mereka terbakar,” kata seorang banduan, Yaroslav Samarskiy, 54, mengenang detik-detik cemas tersebut.
Moscow bagaimanapun menafikan menyasarkan orang awam, meskipun telah meningkatkan serangan udara terhadap bandar-bandar di Ukraine yang terletak di belakang garisan hadapan ketika perang memasuki tahun keempat.
Ketika ini, tentera Russia menguasai kira-kira seperlima wilayah Ukraine.
Presiden Trump pada Selasa memaklumkan, beliau memendekkan tempoh ultimatum terhadap Presiden Russia, Vladimir Putin, daripada 50 hari kepada hanya 10 hingga 12 hari bagi menunjukkan kemajuan ke arah penamatan perang.
“Saya belum dengar sebarang maklum balas daripada Russia,” kata Trump kepada wartawan dalam pesawat Air Force One, dalam perjalanan pulang dari Scotland.
Tambahnya, tarif dan langkah-langkah lain boleh dikenakan ke atas Moscow dalam tempoh 10 hari jika tiada sebarang tindakan.
Kremlin dalam reaksi ringkas berkata pihaknya telah “mengambil maklum” kenyataan Trump, namun operasi tentera khas – istilah yang digunakan Moscow merujuk kepada perang – “masih diteruskan,” kata jurucakap Dmitry Peskov.
Dalam perkembangan berasingan, lima orang maut di wilayah timur laut Kharkiv selepas serangan Russia menyasarkan pusat bantuan kemanusiaan di sebuah perkampungan berhampiran barisan hadapan, menurut pegawai polis kanan Ukraine.
Sementara itu, di Zaporizhzhia, banduan yang cedera dilihat merangkak keluar dari runtuhan bangunan sambil bergelut dengan serpihan kaca, ketika warden memanggil nama mereka seorang demi seorang.
Ramai yang duduk dalam keadaan terkejut, berbalut dan berlumuran darah.
Kementerian Kehakiman Ukraine sebelum ini melaporkan 17 kematian dalam serangan ke atas penjara, sebelum mengemas kini jumlah sebenar. - Agensi
Must-Watch Video
Cara lain mengikuti berita kami