2018 telah kita tinggalkan dengan penuh duka dunia kemanusiaan. Pastinya kita yang berada di bumi Malaysia yang bertuah ini perlu merafa’kan rasa syukur atas keharmonian dan juga ketenteraman yang diperolehi. Namun nun di luar sana ramai saudara-saudara kita sedang berhadapan dengan penindasan, penzaliman, hidup dalam serba kekurangan yang berlaku akibat pergolakan berpanjangan, peperangan, bencana alam dan kerosakan yang mengancam nilai sebuah kemanusiaan.
Palestin merupakan isu ‘evergreen’ yang masih diperkatakan sehingga kini. Ianya masih terus dijarah rakus sang Israel dan sekutunya. Malah Amerika Syarikat dengan angkuh mengiktiraf Baitulmaqdis sebagai ibu Israel dan juga membuka kedutaannya di sana. Ianya manifestasi kepada kegagalan Amerika Syarikat dan dunia untuk menjulang kedudukan manusiawi lebih dari kepentingan dan kedudukan politik. Walhal rakyat Palestin semenjak 70 tahun telah memperjuangkan hak mereka mendapatkan kembali tanah yang dirampas secara paksa.
Pastinya kita masih ingat akan kempen Great March of Return yang bermula pada 30 Mac 2018 bagi menuntut hak untuk rakyat Palestin kembali ke tanah mereka semula dan melumpuhkan pengepungan selama 11 tahun ke atas Gaza. Sejumlah 210 warga Palestin dilaporkan meninggal dunia dan lebih 18,000 yang cedera ekoran serangan yang dilakukan oleh Israel sepanjang kempen berlangsung.
Syria pula mencatatkan hampir 20,000 kematian bagi tahun 2018. Angka yang masih tinggi walaupun dicatatkan terendah sepanjang 8 tahun peperangan yang berlaku semenjak 2011. Dicatatkan sejumlah hampir 500,000 kematian dan 1 juta mereka yang tercedera akibat konflik peperangan tersebut di samping telah menyebabkan 12 juta rakyat Syria kini menjadi pelarian iaitu hampir separuh daripada populasi Syria sebelum peperangan dan sebahagiannya kini mendapatkan perlindungan untuk meneruskan kehidupan di Malaysia.
Wajah anak kecil Amal Hussain, berusia 7 tahun daripada Yaman yang kurus kering sehingga menampakkan tulang rusuk dan terbaring lesu di atas katil sebuah klinik pastinya menggugah jiwa kemanusiaan siapa pun. Amal Hussain akhirnya meninggal dunia dalam kealpaan dunia menangani krisis kemanusiaan dan juga kebuluran yang berlaku di Yaman ekoran konflik yang berlaku semenjak tahun 2015.
2018 juga kita dipaparkan dengan nasib ratusan ribu umat Islam Uyghur di Xinjiang yang dikurung di kem pengasingan (internment, concentration camp) tanpa sebarang sebab yang munasabah. Mereka dikatakan dikurung di kem tersebut sebagai salah satu tindakan mengawal idea ekstremisma di kalangan masyarakat Islam di sana. Kisah sadis dan juga ancaman kepada masyarakat Uyghur di Xinjiang untuk mengamalkan ajaran Islam ini bukan sesuatu yang baru. Namun sehingga kini dunia dan kita sekali lagi terus bisu dan gagal untuk bersuara menentang segala bentuk kezaliman dan penindasan yang berlaku.
*Syahrir Azfar Saleh ialah Ketua Pegawai Operasi, Global Peace Malaysia (GPM).
** Kenyataan di dalam artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak semestinya mencerminkan pandangan Astro AWANI