Skip to main content

Dunia

25 maut, gelombang haba landa AS, ribut cetus ancaman banjir

Pedestrians using umbrellas to block the sun, cross a street next to Madison Square Garden during an extreme heatwave in New York on Friday, July 3, 2026. (AP Photo/Ryan Murphy)
Keadaan cuaca panas yang berbahaya diramalkan berterusan hingga pertengahan minggu di beberapa kawasan negara itu. - Gambar hiasan/ AP
Advertisement

ISTANBUL: Sekurang-kurangnya 25 orang maut akibat gelombang haba yang berlarutan selama seminggu di Amerika Syarikat (AS), lapor Anadolu Ajansi memetik NBC News pada Ahad, ketika 40 juta penduduk masih tertakluk pada amaran haba di seluruh kawasan Pantai Timur, tenggara dan barat daya.

Menurut pegawai negeri dan tempatan, New Jersey melaporkan 22 kematian yang disyaki berpunca daripada haba, manakala Illinois melaporkan satu kematian dan Mississippi melaporkan dua kematian.

Perkhidmatan Cuaca Kebangsaan (NWS) memberi amaran ribut petir boleh membawa angin kencang, hujan batu dan banjir kilat setempat di beberapa kawasan Pantai Timur hingga Isnin.

Amaran banjir masih berkuat kuasa bagi 34 juta penduduk dari Delaware hingga Connecticut serta Bandar Raya New York di mana pakar kaji cuaca menjangkakan taburan hujan sehingga 3 inci (7.6 sentimeter).

Ribut kencang juga menyebabkan gangguan bekalan elektrik yang menjejaskan ratusan ribu pengguna di beberapa negeri di bahagian timur.

Perkhidmatan Cuaca Kebangsaan (NWS) menyatakan amaran haba akan berterusan hingga petang Ahad di seluruh Pantai Timur, dengan nilai indeks haba, yang menggambarkan tahap kepanasan yang dirasai apabila kelembapan digabungkan dengan suhu udara, dijangka mencecah antara 100°F (37.7°C) dan 105°F (40.5°C) di Philadelphia, Washington DC, Baltimore, Raleigh, Charleston (South Carolina) dan Jacksonville (Florida).

Pakar kaji cuaca menjangkakan suhu di sebahagian besar kawasan Pantai Timur akan beransur menurun pada minggu ini, dengan suhu maksimum harian secara umumnya sekitar paras 70-an hingga paras awal 90-an (darjah Fahrenheit).

Bagaimanapun, keadaan cuaca panas yang berbahaya diramalkan berterusan hingga pertengahan minggu di beberapa kawasan negara itu.

Amaran awal mengenai haba ekstrem telah dikeluarkan untuk sebahagian kawasan di California dan Arizona, termasuk Phoenix dan Tucson, bermula Selasa hingga Khamis, dengan suhu maksimum siang hari dijangka mencecah sehingga 114°F (45.5°C). Di Bandar Raya New York, lebih 378 orang telah mendapatkan rawatan di unit kecemasan akibat penyakit berkaitan haba, menurut jabatan kesihatan bandar raya tersebut.

-- BERNAMA-ANADOLU 

 

 

 

Must Watch Video

Advertisement