ORLANDO: Sebanyak 31 ekor kongkang yang dirancang untuk dipamerkan di sebuah tarikan pelancongan baharu di Florida dilaporkan mati sebelum pembukaan rasmi pusat berkenaan, menurut dapatan pihak berkuasa hidupan liar negeri itu.
Kongkang tersebut sepatutnya menjadi tarikan utama di Sloth World, sebuah pameran awam kekal yang digelar “slotharium”, yang dijadualkan dibuka pada musim bunga ini di Orlando.
Advertisement
Namun, laporan yang dikeluarkan oleh Suruhanjaya Pemuliharaan Ikan dan Hidupan Liar Florida (FWC) pada Jumaat mendapati kebanyakan haiwan itu mati akibat keadaan di sebuah gudang di Florida tempat haiwan itu dihantar.
Menurut laporan FWC, sebahagian kongkang tiba di Florida dalam keadaan sudah mati, manakala yang lain menunjukkan tanda-tanda kesihatan yang lemah sebelum akhirnya mati.
Laporan itu turut menyatakan bahawa beberapa kematian berpunca daripada pendedahan kepada suhu sejuk yang tidak sesuai.
Pemilik Sloth World, Ben Agresta, bagaimanapun menafikan dakwaan dalam laporan berkenaan dan berkata terdapat banyak maklumat yang “palsu dan tidak tepat” berhubung insiden itu.
“Kebenarannya ialah kami kehilangan kongkang yang dijangkiti virus yang hampir tidak menunjukkan sebarang simptom dan tidak dapat dikesan walaupun melalui bedah siasat,” katanya dalam kenyataan kepada media tempatan Fox-35 di Orlando.
FWC dalam laporannya menggariskan dua kejadian utama yang membawa kepada kematian kongkang tersebut.
Pada Disember 2024, sejumlah 21 ekor kongkang yang dihantar dari Guyana mati akibat keadaan sejuk di sebuah gudang di Florida.
Beberapa bulan kemudian, pada Februari 2025, dua daripada 10 ekor kongkang yang dibawa masuk dari Peru dilaporkan mati semasa ketibaan, manakala baki lapan ekor kelihatan kurus kering dan akhirnya mati akibat masalah kesihatan.
Siasatan mendapati gudang berkenaan tidak bersedia untuk menerima haiwan tersebut.
Menurut FWC, bangunan itu tidak mempunyai bekalan air dan elektrik yang mencukupi.
Pemanas ruang dipasang bagi mengekalkan suhu, namun ia berhenti berfungsi selepas bekalan elektrik di gudang terputus.
Akibatnya, kru penyiasat mendapati sekurang-kurangnya untuk satu malam, kongkang tersebut berada di dalam bangunan tanpa sebarang pemanasan.
Kongkang merupakan haiwan yang berasal dari hutan hujan tropika dan lazimnya hidup dalam persekitaran bersuhu antara 21 hingga 30 darjah Celsius.
Data cuaca menunjukkan suhu minimum di Florida ketika itu mencecah sekitar tujuh darjah Celsius pada minggu berikutnya selepas ketibaan haiwan tersebut.
FWC turut mendapati dalam dua kejadian berasingan, kongkang di bawah jagaan pihak pengurusan ditempatkan dalam sangkar yang tidak memenuhi keperluan piawaian hidupan liar dalam kurungan.
Amaran lisan telah dikeluarkan ketika itu, namun agensi berkenaan kemudian menutup siasatan tanpa mengeluarkan notis atau saman bertulis.
Beberapa badan pengawalseliaan lain bagaimanapun masih menjalankan siasatan lanjut.
Sementara itu, pejabat keselamatan bangunan Orange County telah mengeluarkan perintah henti kerja di gudang terbabit, dengan laporan menyebut pelanggaran kod bangunan negeri dan peraturan daerah.
Masih belum jelas sama ada Sloth World, yang terletak di kawasan tumpuan pelancong di Orlando, akan dibuka seperti yang dirancang pada tahun ini.
Pendedahan mengenai kematian kongkang tersebut mencetuskan kritikan daripada beberapa penggubal undang-undang dan kumpulan hak haiwan.
Wakil rakyat negeri Florida, Anna Eskamani, berkata kes itu menonjolkan kelemahan besar dalam sistem permit hidupan liar, kerana pihak berkuasa tidak diwajibkan dimaklumkan mengenai kematian haiwan.
Pertubuhan pemuliharaan juga menyuarakan kebimbangan, dengan menyatakan bahawa kongkang yang ditangkap dan dihantar keluar dari habitat semula jadi sering mengalami tekanan teruk, masalah diet dan pendedahan kepada persekitaran buatan, yang dalam banyak kes membawa kepada kematian.