Sehingga petang Ahad, Agensi Bencana Negara Indonesia (BNPB) melaporkan jumlah mangsa korban tragedi tanah runtuh di daerah Banjarnegara, Jawa Tengah meningkat kepada 32 orang manakala 76 lagi masih hilang.

"Pasukan penyelamat telah menemui 32 mayat dan masih mencari 76 lagi yang hilang di dalam tragedi tanah runtuh ini," kata jurucakap BNPB, Sutopo Purwo Nugroho sepertimana dipetik agensi berita AFP.

Menurut laporan ketua BNPB Wilayah Jawa Tengah, Agus Haryono, misi mencari dan menyelamat (SAR) berjalan dengan perlahan disebabkan keadaan tanah yang masih belum stabil.

"Kawasan tragedi merupakan sebuah lembah yang dikelilingi bukit-bukau. Tanahnya lerai dan berlumpur, jadi kita perlu berhati-hati apabila menggali untuk mengelakkan keadaan menjadi lebih teruk," kata Agus kepada AFP.

Pegawai Angkatan Tentera Indonesia, Edi Rahmatullah berkata pasukan SAR sedang mencari dan menyelamat mereka yang dikatakan tertimbus.

"Kami sedang mencuba sedaya-upaya kami untuk mencari mereka yang masih lagi tertimbus. Ia adalah cabaran besar bagi kami kerana kami hanya menggunakan alatan manual dan keadaan tanah di kawasan itu berlumpur teruk."

Presiden Indonesia, Joko Widodo (Jokowi) juga dilaporkan telah turun padang untuk meninjau situasi misi mencari dan menyelamat yang sedang giat dijalankan pada petang Ahad.

Jokowi yang ditemani oleh isteri, Ariana, Menteri Pekerjaan Umum dan Perumahan Rakyat, Basuki Hadimuljono dan Menteri Sosial, Khofifah Indar Parawansa tiba di kawasan tragedi untuk meninjau aktiviti mencari dan menyelamat serta menziarahi mangsa-mangsa yang ditempatkan di sekitar pejabat daerah di wilayah Banjarnegara.

Ketika ditemubual MetroTVnews.com, Jokowi berkata tumpuan paling utama adalah pemindahan penduduk ke kawasan yang lebih selamat.

Beliau juga turut meminta penduduk di kawasan sekitar agar sentiasa berwaspada dan meminta pemerintah kawasan memberikan bantuan sepenuhnya dalam proses pemindahan mangsa ke lokasi selamat.

"Yang paling penting sekarang adalah evakuasi. Kita tidak akan berbicara perkara lain. Fokusnya adalah evakuasi," tegas Jokowi.

Kejadian tanah runtuh ini berlaku pada Jumaat disebabkan oleh hujan lebat.

BNPB menganggarkan kira-kira separuh daripada 250 juta penduduk negara itu tinggal di kawasan yang terdedah kepada tanah runtuh.

Indonesia merupakan antara negara yang paling mudah dilanda bencana, antaranya gempa bumi serta letusan gunung berapi.