DUNIA
34 lagi warga Palestin terbunuh dalam dua serangan besar Israel di Gaza

Hospital Al-Awda memaklumkan telah menerima 23 mayat mangsa serta beberapa individu yang cedera, kebanyakannya dalam keadaan kritikal. - Gambar/ Reuters
GAZA: Sekurang-kurangnya 34 warga Palestin terbunuh manakala puluhan lagi cedera dalam dua serangan besar oleh tentera Israel di Semenanjung Gaza tengah awal pagi Jumaat, lapor Agensi Berita Palestin (WAFA) yang memetik sumber perubatan.
Ringkasan AI
- Sekurang-kurangnya 34 warga Palestin terbunuh dan ramai cedera dalam dua serangan besar oleh tentera Israel di Gaza tengah, termasuk serangan ke atas orang awam yang sedang menerima bantuan kemanusiaan.
- Serangan berterusan sejak Oktober 2023 telah menyebabkan lebih 55,000 kematian dan lebih 130,000 kecederaan, dengan ribuan mangsa masih terperangkap di bawah runtuhan akibat halangan terhadap operasi menyelamat.
- Walaupun UNSC dan ICJ menyeru gencatan senjata dan bantuan kemanusiaan, Israel terus melancarkan serangan yang disifatkan sebagai genosid oleh pihak Palestin dan dikecam oleh masyarakat antarabangsa.
Dalam serangan berasingan, pasukan Israel membedil sebuah rumah di kawasan Al-Ma'asara di sebelah barat Deir al-Balah, turut terletak di Gaza tengah.
Persatuan Bulan Sabit Merah Palestin mengesahkan 11 orang terbunuh dalam serangan itu, manakala yang lain cedera dan kesemua mangsa telah dibawa ke Hospital Al-Aqsa Martyrs di Deir al-Balah.
Pencerobohan berterusan Israel di Gaza sejak Oktober 2023 telah mengakibatkan sekurang-kurangnya 55,706 kematian direkodkan, selain lebih 130,101 orang cedera.
Ribuan mangsa dipercayai masih terperangkap di bawah runtuhan dan tidak dapat diselamatkan akibat serangan berterusan yang menghalang pasukan kecemasan dan pertahanan awam.
Serangan bersifat genosid oleh Israel terus berlaku tanpa henti meskipun Majlis Keselamatan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNSC) menyeru gencatan senjata serta Mahkamah Keadilan Antarabangsa (ICJ) mengarahkan langkah pencegahan genosid dan bantuan segera bagi meredakan krisis kemanusiaan di Gaza.
-- BERNAMA

Must-Watch Video
Cara lain mengikuti berita kami