342 penduduk Gaza maut dalam pelbagai pelanggaran Israel sejak gencatan senjata

Rakyat Palestin membawa mayat seorang lelaki yang terbunuh akibat serangan Israel di Semenanjung Gaza ke bilik mayat di Hospital Al-Aqsa, Deir al-Balah, 22 Nov 2025. (Foto AP)
ISTANBUL: Tentera Israel melakukan 497 pelanggaran terhadap gencatan senjata di Semenanjung Gaza sejak ia berkuat kuasa, mengakibatkan 342 orang maut dan 875 yang lain cedera, lapor Anadolu Ajansi (AA) memetik Pejabat Media Kerajaan Gaza pada Sabtu.
Ringkasan AI
- Tentera Israel dilaporkan melakukan 497 pelanggaran terhadap gencatan senjata di Gaza, mengakibatkan 342 kematian dan 875 kecederaan menurut Pejabat Media Kerajaan Gaza.
- Pejabat media Gaza mendakwa Israel secara sistematik melanggar perjanjian gencatan senjata melalui pelbagai serangan maut dan pencerobohan.
- Pelanggaran Israel termasuk serangan ke atas penduduk awam, pencerobohan wilayah, dan hukuman kolektif, menyebabkan keadaan di Gaza semakin berbahaya dan tidak stabil.
Pelanggaran Israel sejak 10 Okt termasuk 142 insiden tembakan yang menyasarkan orang awam, rumah dan khemah pelarian; 21 pencerobohan darat melangkaui "garisan kuning"; 228 serangan udara, artileri dan darat; serta 100 insiden perobohan rumah dan struktur awam, yang disifatkannya sebagai "hukuman kolektif" dan usaha untuk meluaskan kemusnahan.
Pejabat media itu berkata 35 penduduk Palestin turut ditahan dalam serbuan dan pencerobohan, sambil menuduh Israel cuba "mewujudkan realiti baharu yang berdarah serta mengancam keselamatan dan kestabilan di Semenanjung Gaza."
Pasukan Pertahanan Awam Palestin di Semenanjung Gaza sebelum ini memaklumkan bahawa sekurang-kurangnya 22 rakyat Palestin terbunuh pada Sabtu dalam serangan udara Israel yang menyasarkan rumah dan sebuah kenderaan di beberapa kawasan Gaza, dalam pelanggaran baharu terhadap gencatan senjata.
Israel terus menduduki lebih 50 peratus kawasan Gaza di bawah perjanjian gencatan senjata, dengan "garisan kuning" memisahkan kawasan penempatan tentera Israel daripada kawasan didiami oleh rakyat Palestin.
Tentera Israel baru-baru ini meningkatkan semula serangan di sebelah timur garisan kuning, memusnahkan kawasan yang luas dan menjadikan kawasan sekitar semakin berbahaya kepada orang awam.
Sejak Oktober 2023, tentera Israel telah membunuh hampir 70,000 penduduk Gaza, kebanyakannya wanita dan kanak-kanak, mencederakan lebih 170,800 individu serta menjadikan wilayah itu hampir keseluruhannya musnah. Serangan itu terhenti di bawah perjanjian gencatan senjata Presiden Amerika Syarikat Donald Trump.
-- BERNAMA
Dapatkan berita terkini di sini


Must-Watch Video
Cara lain mengikuti berita kami

