Skip to main content

Politik

PRN Melaka: Gen Z ada cara sendiri, calon PN Ayer Keroh ubah pendekatan

MICHAEL: Gen Z ini bukan senang. Kita tahu mereka ada cara tersendiri. Kalau kita ikut cara konvensional memang susah.
MICHAEL: Gen Z ini bukan senang. Kita tahu mereka ada cara tersendiri. Kalau kita ikut cara konvensional memang susah.

Ringkasan AI

  • Calon PN DUN Ayer Keroh, Datuk Michael Gan Pen Lam, menekankan pentingnya pendekatan digital untuk mendekati pengundi muda Gen Z.
  • Kempen turut melibatkan lawatan bersemuka ke kawasan perumahan dan premis perniagaan, selain penggunaan media sosial seperti TikTok dan Facebook.
  • Isu banjir dan pokok berbahaya antara aduan utama penduduk, dengan tindakan segera dimohon melalui SISPAA kepada agensi berkaitan.
Advertisement

BUKIT KATIL: Pendekatan kempen secara konvensional tidak lagi memadai untuk mendekati pengundi Generasi Z (Gen Z), khususnya mereka yang lebih aktif mendapatkan maklumat menerusi media sosial.

Calon Perikatan Nasional (PN) bagi Dewan Undangan Negeri (DUN) Ayer Keroh, Datuk Michael Gan Pen Lam mengakui usaha memenangi sokongan golongan muda bukan sesuatu yang mudah, terutama bagi ahli politik yang sudah lama berkecimpung dalam arena politik.

“Gen Z ini bukan senang. Kita tahu mereka ada cara tersendiri. Kalau kita ikut cara konvensional memang susah.

Advertisement

“Kita cuba menggunakan media untuk berinteraksi dengan mereka. Kita ada TikTok, siaran langsung dan Facebook,” katanya ketika ditemui pemberita ketika melawat Bilik Gerakan PN di Bukit Katil, hari ini.  

Menurut Michael, penggunaan platform digital menjadi antara pendekatan yang diambil bagi menyesuaikan gerak kerja kempen dengan corak komunikasi generasi muda.

Advertisement

Bagaimanapun, kempen secara bersemuka tetap diteruskan menerusi lawatan ke kawasan perumahan dan premis perniagaan sekitar Ayer Keroh.

Michael turut menyifatkan penerimaan pengundi setakat ini sebagai positif berbanding pengalaman kempen sebelum ini.

Dalam perkembangan sama, beliau berkata masalah banjir dan pokok berbahaya antara isu yang kerap dibangkitkan penduduk ketika sesi bertemu pengundi.

Beliau turut menggesa agensi berkaitan mempercepat tindakan terhadap aduan penduduk, termasuk sebatang pokok berisiko di Jalan Delima 5 yang dikhuatiri boleh mengancam keselamatan orang ramai.

Michael berkata, aduan mengenai perkara itu telah disalurkan menerusi Sistem Pengurusan Aduan Awam (SISPAA) bagi mendapatkan tindakan segera.

Turut hadir Ketua Menteri Melaka, Datuk Seri Abdul Rauf Yusoh dan Calon PN Dun Bukit Katil Mohd Ridzuan Mohd Shariff.

Pada PRN Melaka kali ini, Michael sekali lagi berdepan penyandang kerusi Ayer Keroh daripada Pakatan Harapan (PH), Kerk Chee Yee, dalam usaha PN merampas kerusi berkenaan.

DUN Ayer Keroh mempunyai 38,252 pengundi berdaftar, dengan komposisi kaum hampir seimbang antara pengundi Cina dan Melayu.

Pengundi muda berusia 18 hingga 29 tahun turut menjadi kelompok penting di Ayer Keroh, dengan kira-kira 9,900 orang atau 25.9 peratus daripada keseluruhan pemilih berdaftar.

 


 

Must Watch Video

Advertisement