Skip to main content

Politik

PRN Melaka: Biasa pilih dacing, Ridzuan dekati penyokong BN untuk sokong PN

Mohd Ridzuan berkata, penerangan secara bersemuka sedang dilakukan bagi memastikan penyokong BN memahami kerjasama kedua-dua gabungan pada PRN Melaka kali ini. - Foto Astro AWANI
Mohd Ridzuan berkata, penerangan secara bersemuka sedang dilakukan bagi memastikan penyokong BN memahami kerjasama kedua-dua gabungan pada PRN Melaka kali ini. - Foto Astro AWANI
Advertisement

BUKIT KATIL: Kebiasaan mengundi lambang dacing dalam kalangan penyokong tradisi Barisan Nasional (BN) menjadi antara cabaran yang perlu ditangani jentera Perikatan Nasional (PN) di Dewan Undangan Negeri (DUN) Bukit Katil.

Calon PN, Mohd Ridzuan Mohd Shariff berkata, penerangan secara bersemuka sedang dilakukan bagi memastikan penyokong BN memahami kerjasama kedua-dua gabungan pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka kali ini.

Menurutnya, tumpuan turut diberikan kepada pengundi lama yang sudah terbiasa dengan lambang BN setiap kali pilihan raya.

Advertisement

“Kami turun padang secara terus dan berjumpa dengan orang-orang lama supaya mereka jelas bahawa kali ini berlaku penyatuan gabungan.

“Kita jelaskan bahawa logo PN yang harus mereka undi untuk tujuan pilihan raya kali ini,” katanya ketika ditemui pemberita semasa lawatan ke Bilik Gerakan PN di sini, hari ini.

Advertisement

Turut hadir Ketua Menteri Datuk Seri Abdul Rauf Yusoh, calon PN DUN Ayer Keroh Datuk Michael Gan Pen Lam dan pelakon veteran Datuk Jalaluddin Hassan.

Ridzuan berkata, kerjasama jentera kedua-dua gabungan setakat ini berjalan baik, termasuk penglibatan petugas kempen dari pagi hingga lewat malam.

Beliau bagaimanapun tidak menafikan kekuatan penyandang kerusi Bukit Katil, Adly Zahari, daripada Pakatan Harapan (PH).

"Kita tidak menafikan kekuatan pihak lawan. Adat pertandingan menang dan kalah... Dengan penyatuan ummah pada hari ini, gabungan PN-BN, saya melihat sokongan yang diberikan oleh jentera sangat baik," katanya lagi.

Dalam perkembangan sama, Ridzuan turut menggariskan perancangan 100 hari pertama sekiranya diberi mandat, termasuk menangani masalah banjir kilat dan penyelenggaraan longkang.

DUN Bukit Katil menyaksikan pertandingan empat penjuru membabitkan Ridzuan, Adly, calon Bersama, Aliza Che Amran dan calon Bebas, Abu Bakar Sabudin.

Pada PRN Melaka 2021, Adly memenangi kerusi berkenaan dengan majoriti 1,057 undi.


 

Must Watch Video

Advertisement