PARIS: Empat kanak-kanak yang berusia antara 1 hingga 3 tahun diserang oleh seorang lelaki bersenjata pisau di sebuah taman permainan di Annecy, tenggara Perancis.

Polis menahan lelaki berkenaan setelah dia memasuki taman permainan itu untuk melakukan serangan.

Agensi berita antarabangsa BBC melaporkan, kanak-kanak itu kini sedang dirawat di hospital dan pihak berkuasa tempatan turut mengesahkan keadaan semua mangsa stabil.

Seorang kanak-kanak British berusia tiga tahun merupakan antara yang cedera sementara tiga mangsa lain terdiri daripada warga Belanda.

Insiden itu turut menyebabkan dua orang dewasa cedera dan seorang mangsa lain berada dalam keadaan kritikal.

Polis turut mengesahkan suspek merupakan seorang lelaki warga Syria berusia 31 tahun yang mempunyai status pelarian di Sweden.

Jurucakap pihak berkuasa tempatan, Antoine Armand menggambarkan serangan itu sebagai ‘menyayat hati’ serta memaklumkan pihak berkuasa sedang melakukan siasatan menyeluruh.

Susulan kejadian itu, Perdana Menteri Perancis, Élisabeth Borne dan Menteri Dalam Negeri, Gérald Darmanin segera berkunjung ke lokasi serangan.

Dalam sidang medianya, Borne berkata, suspek tersebut tidak mempunyai ‘rekod jenayah atau psikiatrik’ dan mempunyai seorang anak ‘berusia lebih kurang pada usia yang sama dengan mereka yang diserang.’

Sementara pegawai pendakwa Annecy, Line Bonnet-Mathis pula memberitahu wartawan, kesemua mangsa berusia 22 bulan hingga tiga tahun.

Tiada ‘sebarang motif keganasan’ dalam insiden itu, katanya, seperti dilaporkan BBC.

Polis turut memberitahu, suspek yang berstatus pelarian di Sweden berkunjung ke Perancis baru-baru ini dengan meninggalkan seorang isteri dan anak perempuan berusia tiga tahun.