Amaran PBB: Keganasan di Myanmar memuncak menjelang pemilihan di bawah kawalan tentera

Volker Turk menggesa agar amalan paksaan yang dikaitkan dengan pengundian itu dihentikan serta-merta. - Gambar fail Reuters
GENEVA: Keganasan, penindasan dan ugutan semakin memuncak di Myanmar menjelang pilihan raya yang dikawal tentera dan dijadualkan pada 28 Dis, dengan orang awam diancam oleh pihak berkuasa serta kumpulan bersenjata yang menentang tentera, menurut Pejabat Hak Asasi Manusia Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) pada Selasa, lapor Anadolu Ajansi.
Ketua Hak Asasi PBB, Volker Turk dalam satu kenyataan menggesa agar amalan paksaan yang dikaitkan dengan pengundian itu dihentikan serta-merta.
"Pihak berkuasa tentera di Myanmar mesti menghentikan penggunaan keganasan kejam untuk memaksa orang ramai mengundi dan menghentikan penahanan individu kerana menyuarakan pandangan yang berbeza," katanya.
Menurut pejabat itu, berpuluh-puluh individu ditahan di bawah "undang-undang perlindungan pilihan raya" kerana menggunakan kebebasan bersuara.
Sebahagian daripada mereka menerima hukuman berat, termasuk tiga belia di Perbandaran Hlaingthaya di Wilayah Yangon yang dipenjarakan antara 42 hingga 49 tahun kerana menggantung poster anti-pilihan raya.
Tokoh terkenal turut ditangkap, menurut pejabat itu, termasuk pengarah filem Mike Tee, pelakon Kyaw Win Htut dan pelawak Ohn Daing, yang masing-masing dijatuhi hukuman penjara tujuh tahun atas pertuduhan menjejaskan kepercayaan awam selepas mengkritik sebuah filem propaganda pro-pilihan raya.
Menurut pejabat itu, pihaknya menerima laporan daripada orang awam yang dipindahkan secara dalaman di beberapa bahagian negara, termasuk Wilayah Mandalay, yang diberi amaran yang mereka akan diserang atau rumah mereka dirampas jika tidak pulang untuk mengundi.
"Memaksa orang yang dipindahkan pulang dalam keadaan tidak selamat dan tanpa kerelaan adalah satu pelanggaran hak asasi manusia," kata Turk.
Kumpulan bersenjata yang menentang tentera juga dilaporkan mengeluarkan ugutan.
Pada November, guru-guru diculik dan pejabat pilihan raya di Yangon dibom, menyebabkan beberapa petugas pilihan raya cedera, menurut kenyataan itu.
"Pilihan raya ini jelas berlangsung dalam persekitaran keganasan dan penindasan.
Tiada keadaan yang membolehkan pelaksanaan hak kebebasan bersuara, berpersatuan atau berhimpun secara aman untuk memastikan penyertaan rakyat yang bebas dan bermakna," kata Turk.
Kerajaan yang dipilih di bawah pimpinan Aung San Suu Kyi digulingkan pada Februari 2021.
--BERNAMA-ANADOLU
Must-Watch Video
Cara lain mengikuti berita kami


