KUALA LUMPUR: Sebanyak 40 peratus syarikat mahukan pekerja mereka divaksin, 32 peratus lagi mendorong tetapi tidak mewajibkan dan 16 peratus lagi mahu sebahagian pekerja mereka mengambil suntikan berkenaan.

Itu adalah dapatan dalam laporan Arizona State University (ASU), Forum Ekonomi Dunia dan Rockefeller Foundation yang membuat kajian membabitkan 24 sektor industri dan 1,339 kemudahan di 1,168 fasiliti syarikat yang sebahagian besar di Amerika Syarikat (AS) dan United Kingdom (UK).

Laporan itu mendapati, hampir sembilan dari 10 syarikat akan mendorong pekerjan untuk mendapatkan vaksinasi COVID-19 atau berhadapan dengan hukuman.

Walaupun program vaksinasi sedang berjalan dengan baik di kebanyakan negara kaya di dunia, banyak negara lain jauh ketinggalan termasuk India dan Amerika Latin.

Mereka yang memilih untuk tidak mematuhi dasar syarikat mereka dalam vaksinisasi mungkin menghadapi risiko termasuk perubahan skop tanggungjawab tugasan, tindakan tatatertib atau dikecualikan daripada persekitaran kerja fizikal.

Penulis laporan berkenaan, Nathaniel L Wade dan Mara G Aspinall dari Arizona State University’s College of Health Solutions menjelaskan, langkah syarikat menunjukkan vaksinisasi dianggap sangat penting untuk menjaga keselamatan tempat kerja.

Kajian juga mendapati, hampir 60 peratus syarikat merancang untuk memberi insentif kepada pekerja agar diberi vaksin, 84 peratus lagi akan membenarkan pemberian vaksinasi kepada pekerja di tempat mereka dan 60 peratus memerlukan pekerja untuk menunjukkan bukti sudah divaksinasi.

Jelas mereka, isu vaksinasi akan memainkan peranan penting dalam masa depan pekerjaan.

Menurut laporan Future of Jobs, Forum Ekonomi Dunia, pekerja akan berhadapan situasi gangguan berganda semasa pandemik COVID-19 melanda.

Ia dilihat tambahan kepada gangguan semasa daripada penutupan akibat pandemik dan penguncupan ekonomi, penggunaan teknologi oleh syarikat juga akan mengubah tugas, pekerjaan dan kemahiran pada tahun 2025.

Laporan ASU turut menunjukkan syarikat masih menghadapi masalah dalam pandemik.

Syarikat mengatakan bahawa 57 peratus pekerja masih bekerja di luar pejabat dan kemungkinan situasi itu akan kekal sepanjang tahun.

Tetapi laporan itu menunjukkan bahawa kebanyakan majikan mahu pekerja mereka bertugas di pejabat dalam masa tertentu.

Lebih dua pertiga majikan percaya pekerja perlu berada lebih 20 jam di pejabat dalam masa seminggu,dengan alasan utama mereka adalah hubungan sosial antara rakan sekerja.

Dalam pada itu, isu kesihatan mental juga merupakan ciri utama laporan berkenaan dengan 50 peratus majikan mengatakan bahawa mereka telah melihat peningkatan dalam penggunaan sumber berkaitan bidang ini.

Kesihatan mental pekerja menjadi keutamaan bagi lebih daripada 75 peratus hasil tinjauan.

Walaupun begitu, penglibatan dan moral pekerja juga menjadi faktor keutamaan majikan terhadap pekerja masing-masing.

Pada dasarnya, banyak pihak yang sedang bekerja keras untuk menyatukan semuanya - untuk menyeimbangkan kerja, keluarga, rakan dan juga keseronokan.

Kata laporan itu, sebahagian besar daripadanya telah berjaya, tetapi tiada kepastian berapa lama tindakan penyeimbangan itu dapat bertahan.