PM Anwar bidas pihak lontar pandangan berlebihan pelan damai Gaza

Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim menyampaikan ucapan ketika menghadiri Penutup Program MADANI Rakyat (PMR) 2025 Melaka di Politeknik Merlimau hari ini. - Foto Bernama
JASIN: Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim membidas tindakan sesetengah pihak yang melontarkan pandangan berlebihan berhubung rundingan pelan damai yang dikemukakan Presiden Amerika Syarikat (AS) Donald Trump.
Ringkasan AI
- Perdana Menteri Anwar Ibrahim menegur pihak yang mengkritik rundingan damai Gaza-Israel, khususnya pelan 20 Perkara oleh Presiden AS Donald Trump, sambil menegaskan pentingnya pendekatan kolektif negara Islam dalam mencari penyelesaian konflik.
- Anwar memaklumkan beliau telah berhubung dengan pemimpin Mesir, Afghanistan dan Pakistan, termasuk meminta laluan untuk sukarelawan Malaysia ke Gaza serta menyokong usaha damai antara Pakistan dan Afghanistan yang sedang dirunding di Doha.
- Beliau turut menempelak pembangkang yang menyerang dasar kerajaan tanpa fakta, termasuk isu pemuliharaan bangunan warisan seperti Carcosa Seri Negara yang diperuntukkan RM600 juta oleh Khazanah Nasional dalam Belanjawan 2026.
"Dalam perbincangan dengan dia (El-Sisi), kebimbangan saya (ialah) Tebing Barat diserang lagi dan El-Sisi kata sebab itu negara-negara Islam harus sentiasa nampak sebagai satu pasukan. Walaupun kita ada keberatan, kita tak setuju semua penyelesaian 20 Perkara itu, tetapi saya dengar juga (pandangan daripada pihak) lain seperti Hamas yang berunding dengan Israel.
"...yang kita nak lebih daripada Hamas ini sebab apa? Kita ini sikap kita kadang kala itu nak mengajar lagi sedangkan Hamas itu bertempur, ribuan dah mati. Yang kita di sini oh jangan runding, jangan cakap dengan Amerika," katanya ketika berucap pada Majlis Penutupan Program MADANI Rakyat (PMR) 2025 Melaka di sini, hari ini.
Anwar berkata El-Sisi turut menyatakan persetujuan untuk mengetengahkan perkara-perkara yang dibangkitkan Malaysia yang tidak termasuk dalam 20 Perkara yang dicadangkan Trump, menerusi satu persidangan pada November depan.
"Saya juga minta laluan untuk sukarelawan Malaysia dibenarkan masuk, nak bantu dan dia (El-Sisi) bagi jaminan," katanya.
Rundingan pelan damai itu menyaksikan Mesir menjadi tuan rumah kepada sidang kemuncak keamanan antarabangsa di bandar peranginan Laut Merah, Sharm el-Sheikh dengan dipengerusikan El-Sisi dan Trump.
Sebelum ini, Trump mengumumkan bahawa Israel dan Hamas bersetuju melaksanakan fasa pertama daripada pelan 20 Perkara yang dibentangkannya pada 29 Sept lepas bagi mencapai gencatan senjata di Gaza iaitu membebaskan semua tawanan Israel yang ditahan di wilayah itu dengan pertukaran kira-kira 2,000 tahanan Palestin, serta pengunduran berperingkat tentera Israel dari seluruh Semenanjung Gaza.
Pelan berkenaan turut merangkumi pembentukan mekanisme pentadbiran baharu di Gaza tanpa penyertaan Hamas, penubuhan pasukan keselamatan yang terdiri daripada rakyat Palestin serta anggota tentera negara Arab dan Islam, serta perlucutan senjata kumpulan Hamas.
Anwar turut memaklumkan beliau juga telah menghubungi Pemangku Perdana Menteri Afghanistan Mullah Mohammad Hassan Akhund dan Perdana Menteri Pakistan Shehbaz Sharif malam tadi bagi menyuarakan kebimbangan terhadap peperangan di sempadan kedua-dua negara.
"Tetapi apa yang Ahli Parlimen beritahu, saya ini Perdana Menteri telefon. Mereka tidak tahu bahawa dengan telefon itulah kita bantu konflik Kemboja-Thailand, telefon ini juga untuk kita sertai usaha kecil dan dengan telefon ini juga diminta oleh Emir Qatar untuk kita sokong usaha damai dengan membawa menteri pertahanan Pakisan dan Afghanistan ke Doha.
"Oleh kerana kita ada hubungan baik dengan kedua-dua negara, diminta kita gesa dua pihak ini cari jalan damai yang sekarang sedang dirunding di Doha," katanya.
Sementara itu, Anwar turut menempelak tindakan pihak tertentu termasuk pembangkang yang sengaja menyerang dasar kerajaan tanpa berlandaskan fakta sebenar.
Mengambil contoh pelaburan bagi pemuliharaan bangunan warisan di Kuala Lumpur termasuk Carcosa Seri Negara, Anwar berkata ia bertujuan untuk memelihara khazanah warisan negara.
Dalam pembentangan Belanjawan 2026 pada 10 Okt lepas, Anwar memaklumkan Khazanah Nasional Bhd (Khazanah) memperuntukkan RM600 juta untuk kerja-kerja membaik pulih bangunan bersejarah Carcosa Seri Negara.
-- BERNAMA
Must-Watch Video
Cara lain mengikuti berita kami